Terminal Bersepadu Gombak mula terima penumpang

Bernama
Mac 15, 2025 17:11 MYT
Tinjauan pada hari pertama Terminal Bersepadu Gombak (TBG) beroperasi di Terminal Bersepadu Gombak, Jalan Terminal Putra, Taman Melati hari ini. -Bernama
KUALA LUMPUR: Biarpun hanya akan beroperasi secara rasmi 22 Mac depan namun Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Plaza Tol Gombak mula menerima penumpang dari Pantai Timur.

Ringkasan AI
  • Terminal Bersepadu Gombak (TBG) mula menerima penumpang dari Pantai Timur walaupun hanya akan beroperasi secara rasmi pada 22 Mac.
  • TBG berperanan sebagai hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur dan negeri-negeri lain, serta diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak dan ECRL.
  • TBG menyediakan 1,200 tempat letak kereta dan 3,000 peluang pekerjaan untuk menyokong pengoperasian terminal tersebut.

Tinjauan Bernama mendapati suasana di terminal masih lengang, hanya beberapa bas kelihatan menurunkan penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
"Hari ini tidak banyak bas yang masuk kerana kita masih dalam tempoh percubaan pengoperasian. Esok bas pertama dari Kelantan dijadual tiba 5.30 pagi.
"Kita telah maklumkan kepada pengendali premis untuk buka kedai makanan dan minuman bagi memudahkan penumpang bersahur," katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di terminal itu di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun hanya akan beroperasi secara rasmi pada 22 Mac depan namun untuk perayaan Aidilfitri, orang ramai sudah boleh membeli tiket ke semua laluan.
Sementara itu, seorang pekerja swasta dari Kuantan, Pahang R. Deepan, 39, berkata perjalanan ke Kuala Lumpur kini lebih mudah tanpa perlu lagi berhenti di TBS memandangkan tempat kerjanya sekitar kawasan berkenaan.
"Kebiasaannya saya turun dekat TBS, bila ada TBG, senang untuk saya memandangkan tempat kerja saya di sekitar sini malah pembelian tiket juga mudah kerana boleh beli secara dalam talian," katanya kepada Bernama.
Pelajar universiti awam di Bangsar Muhamad Amirul Malik, 21, berkata TBG dapat mengurangkan masa perjalanan ke ibu kota kerana bas yang dinaiki tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak untuk ke TBS.
"Selama ini jika mahu pulang ke universiti, saya turun di TBS dan perlu menaiki bas atau perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT). Ia juga mengambil masa agak lama untuk ke ibu kota," katanya.
Bagi suri rumah Nur Amira Syahirah Muslim, 32, pula berkata pembukaan TBG amat dinantikan kerana ia akan memudahkan, terutamanya kepada penduduk Pantai Timur yang sering berulang-alik ke ibu kota sama ada untuk bekerja mahupun belajar.
Dia juga gembira kerana banyak kemudahan disediakan di terminal itu, seperti kedai makan, kawasan parkir yang luas serta surau sekali gus memberi keselesaan kepada penumpang.
TBG berperanan sebagai hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan serta destinasi lain, termasuk negeri di utara.
Selain bas ekspres, TBG juga menghubungkan bas antara bandar dan diintegrasikan dengan stesen LRT Gombak serta stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak yang pembinaannya sudah mencapai 79 peratus.
TBG turut menyediakan 1,200 tempat letak kereta selain 3,000 peluang pekerjaan yang bakal menjadi tulang belakang kepada pengoperasian terminal itu kelak.
-- BERNAMA
#Terminal Bersepadu Gombak #Plaza Tol Gombak #Pantai Timur #ECRL
;