Termasuk perangkap sindiket penipuan, kerani akaun rugi RM112,000
Astro Awani
Januari 15, 2021 16:33 MYT
Januari 15, 2021 16:33 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang kerani akaun kerugian RM112,000 selepas menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai pegawai bank.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku pada 2 Januari lalu apabila wanita berusia 40-an itu menerima panggilan dari seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai bank.
Wanita itu diarahkan memberi maklumat akaun peribadinya selepas menyatakan ada penggunaan kad kredit yang didaftarkan atas nama mangsa.
Awalnya, mangsa yang menafikan tentang permohonan atau penggunaan kad kredit itu.
Namun, dia akhirnya terpedaya apabila suspek meyakinkannya dengan menyambungkan panggilan itu kepada pihak 'Bank Negara’.
Mangsa menyedari ditipu apabila semakan pada akaun bank miliknya mendapati sejumlah wang dipindahkan ke beberapa akaun pihak ketiga.
“Modus operandi untuk penipuan panggilan pertama itu, mangsa akan dihubungi oleh sindiket yang mengaku sebagai pegawai bank atau Bank Negara dan seringkali juga menyamar sebagai pegawai polis. Itu telah meyakinkan pihak mangsa (yang seterusnya) memberi butir-butir peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya sehingga mangsa mengalami kerugian yang besar,” ujar Eng Lai.
Beliau juga mendedahkan tentang satu lagi kaedah penipuan iaitu melalui panggilan yang mengaku sebagai kenalan, dan seterusnya meminta bantuan kewangan,” ujarnya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kes-kes yang membabitkan panggilan palsu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap panggilan yang diterima dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan.
Untuk rekod, sebanyak 193 laporan polis diterima melibatkan kes panggilan palsu bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Disember 2020.
Ia melibatkan jumlah kerugian lebih kurang sebanyak RM6 juta.
Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan supaya tidak terjerat dengan modus operandi digunakan sindiket.