Terlalu ramai ahli politik, tiada koordinasi punca krisis COVID-19 sukar ditangani - Tun M

Afiezy Azaman
Julai 15, 2021 03:32 MYT
Dr Mahathir berkata terlalu ramai ahli politik terlibat selain tiada koordinasi dan pengalaman menyumbang ke arah peningkatan kes harian COVID-19 walaupun ketika darurat dan total lockdown dikuatkuasakan.
KUALA LUMPUR: Terlalu ramai ahli politik terlibat dalam menangani krisis COVID-19 dalam kerajaan menjadi punca negara sukar keluar daripada krisis COVID-19.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada koordinasi dan pengalaman turut menyumbang ke arah peningkatan kes harian COVID-19 walaupun ketika darurat dan ‘total lockdown’ dikuatkuasakan.
“Terlalu banyak ahli politik terlibat. Kita lihat menteri ini cakap ini, menteri itu cakap lain, dan di antara mereka tiada koordinasi.
“Mereka bukan individu yang yang biasa menangani masalah kesihatan dan krisis serius seperti ini yang mempengaruhi ekonomi dan kehidupan sosial rakyat.
“Untuk mengatasi krisis seperti ini, kita memerlukan beberapa pengalaman.
"Tetapi kerajaan terdiri daripada orang-orang yang tidak mempunyai pengalaman dalam pemerintahan biasa, malah dalam menangani krisis,” katanya dalam Program 'What's Going On, Malaysia?' dihoskan pengacara terkenal Harith Iskander secara maya, pada Rabu.
Tun Mahathir sanggup keluar Pejuang jika diberi peranan tangani COVID-19
Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, antara masalah lain ialah kerajaan terlalu fokus tentang siapa yang akan menjadi Perdana Menteri dan kebimbangan mengenai undi tidak percaya.
Justeru, keadaan ini menyebabkan ia gagal fokus mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Profesional sekali gus tiada solusi tentang masalah yang timbul.
“Saya sangat bimbang dengan kesengsaraan orang ramai. Saya tidak berminat dengan aspek politik dan saya tidak cuba menjadi Perdana Menteri.
“Malah saya rasakan terlalu banyak politik terlibat dan mereka tidak cuba menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya cuma berminat melakukan sesuatu untuk orang ramai kerana mereka sengsara ketika ini dan mereka marah malah kemarahan mereka bersebab kerana kes COVID-19 semakin meningkat,” ujar beliau.
Tambah Bekas Perdana Menteri itu, kerajaan mempunyai idea untuk menangani masalah COVID-19 namun tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya.
“Pada awalnya kita berjaya mengatasinya tetapi kemudian kita adakan Pilihan Raya Negeri Sabah membuatkan angka kes melonjak kepada 2,000.
“Kemudian kita isytiharkan darurat, tetapi angka melonjak kepada 9,000, dan sekarang kamu (kerajaan) lancarkan pelan baharu tetapi angka kes melonjak kepada 11,000.
“Jelas mereka mempunyai idea mengenai pelan tetapi tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan pelan tersebut, kerana jika anda tidak tahu melaksanakannya, anda tidak akan dapat hasil dan perlu tahu bagaimana nak lakukannya,” katanya.
#Mahathir Mohamad #Langkawi #Perdana Menteri #COVID-19 #total lockdown #Sabah #ahli politik