Terlalu marah dipercayai punca pembunuhan kejam dua beranak
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 18, 2019 15:11 MYT
Oktober 18, 2019 15:11 MYT
Akibat perasaan terlalu marah selepas tidak berpuas hati dengan isu yang ditimbulkan oleh mangsa dipercayai menjadi motif pembunuhan kejam dua beranak, dalam kejadian penemuan anggota badan manusia yang dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, Melaka Khamis minggu lalu.
Tanpa mendedahkan lanjut termasuk identiti mangsa, Timbalan Ketua Polis Negeri Melaka, Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, siasatan berhubung kes berkenaan sudah hampir siap sepenuhnya dan akan dihantar ke pihak pendakwaraya dalam masa terdekat.
Beliau berkata, beberapa individu termasuk ahli keluarga suspek lelaki warga Singapura yang dipercayai ada hubungan rapat dengan mangsa juga akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Selain itu katanya, sehingga kini masih terdapat beberapa bahagian anggota badan yang belum dijumpai.
“Kes itu sudah (hampir) selesai, tangkapan sudah ada, suspek sudah ditangkap. Kita sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dimajukan ke DPP (Timbalan Pendakwaraya). Siasatan dianggap 90 peratus sudah selesai.
“Kita sedang menunggu laporan untuk sahkan badan yang djumpai adalah mereka yang dilaporkan hilang.
“Motif (berkemungkinan) rasa marah isu yang dtimbulkan oleh mangsa,” katanya selepas majlis perasmian taska di tempat kerja sektor awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Jumaat
.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa bagi mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa.
Selain itu katanya, laporan rasmi ujian saringan air kencing terhadap suspek utama warga Singapura itu juga masih belum diketahui
.
Khamis minggu lalu, Astro AWANI melaporkan polis menemui lapan bahagian anggota badan manusia dipercayai milik lebih seorang individu yang dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong.
Kemudian pada Sabtu, suspek warga Singapura yang ada hubungan dengan kedua-dua mangsa yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam itu di reman selama tujuh hari sebelum disambung semula sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dua kepala dipercayai milik dua beranak itu turut ditemui di siling sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan dua beranak itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim dalam kenyataan sebelum ini turut berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota-anggota badan yang ditemui berkenaan milik seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya 11 tahun seperti ditularkan.
Difahamkan, proses pengecaman telah dibuat oleh ahli keluarga sejak Sabtu lalu selain sampel ujian DNA juga telah diambil bagi pengesahan identiti.
#Astro Awani
#DNA
#Kampung Ladang
#keluarga
#kerat lapan
#Krubong
#mangsa
#mangsa bunuh
#Melaka
#Merdeka
#Shahrul Laili Masduki
#Singapura
#suspek
#Timbalan Ketua Polis Negeri Melaka