TERKINI: Suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram ahli JI, tujuh individu ditahan - KPN

Afiezy Azaman
Mei 17, 2024 12:19 MYT
Razarudin ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, hari ini. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi, merupakan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek yang berusia 34 tahun itu sememangnya membuat persediaan untuk melakukan serangan yang mengorbankan dua anggota polis itu.
“Polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia lingkungan 15 hingga 62 tahun, dipercayai ahli serpihan Jemaah Islamiyah.
“Bapa suspek adalah ahli Jemaah Islamiyah di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan JI,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Razarudin berkata, turut ditahan, dua pelajar masing-masing berusia 21 dan 22 tahun yang hadir di balai polis sebelum kejadian, kononnya untuk membuat laporan berkaitan kes cabul.
“Kejadian (kes cabul) dua tahun dahulu datang balai jam dua pagi, macam tak logik, jadi kita tangkap kedua-duanya,” ujarnya.
Tambahnya, polis mendapati suspek telah membuat persediaan sebelum melakukan serangan di Balai Polis tersebut.
“Beg yang digunakan sebagai pelindung telah diisi dengan barangan untuk bertempur dengan polis, kemungkinan dia datang untuk mendapatkan senjata api.
[TERKINI] Sidang media IGP berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram
“Saya telah mengarahkan Cawangan Khas untuk mendapatkan semua anggota JI yang berada di Johor untuk dikenal pasti dan disiasat.
“Kita ada lebih daripada 20 anggota JI sedang disiasat,” ujarnya.
Razarudin juga berkata, pihaknya juga akan meningkatkan kawalan keselamatan di Balai Polis sekitar negeri itu.
“Kawalan di balai akan dipertingkat dan polis akan maklumkan kepada pihak Istana dan Menteri Besar kerana ia adalah tanggungjawab kami.
“Kami akan meningkatkan peronda di balai dan jika ada pencahayaan kurang di mana-mana balai ia akan dipertingkatkan,” katanya.
Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.
Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.
Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.
#Balai Polis Ulu Tiram #Balai Polis Ulu Tiram diserang #Jemaah Islamiyah #suspek Jemaah Islamiyah
;