[TERKINI] Op Global: Anak bekas pemimpin Al-Arqam antara 7 pengikut GISB ditahan
Umavathi Ramayah
September 20, 2024 13:34 MYT
September 20, 2024 13:34 MYT
KUALA LUMPUR: Anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad antara tujuh ditahan dalam empat serbuan berasingan di Temerloh, Pahang; Telok Kemang, Negeri Sembilan dan Pengkalan Chepa, Kelantan menerusi Op Global, semalam.
Turut ditahan adalah enam individu termasuk anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan beberapa ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI berkata, tujuh individu berkenaan ditahan berhubung siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.
“Kesemua individu yang ditahan itu adalah Remaja Pembela Ummah (RPU) GISB,” katanya di sini, pada Jumaat.
Menurut Razarudin, soal siasat awal masih dijalankan dan kesemua suspek ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam untuk proses reman pada Jumaat.
Penahanan terbaharu ini bagi membantu siasatan yang dijalankan berhubung pelbagai kes yang dikaitkan dengan rumah amal kendalian GISB.
Kesemua tujuh suspek yang berusia 32 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan antara pukul 11 malam Khamis dan 4.07 pagi Jumaat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pada Khamis, seramai 19 individu termasuk pengerusi yang juga CEO GISBbergelar Datuk ditahan menerusi Op Global bagi membantu siasatan yang dihadapi syarikat berkenaan.
Turut ditahan isteri dan dua anaknya serta anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.
Ia susulan penahanan lima individu termasuk dua anak pengerusi GISB dalam cubaan menyeludup keluar dari negara melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Setakat ini, jumlah keseluruhan yang ditahan dalam Op Global membabitkan pengikut GISB sejak Rabu adalah seramai 31 individu.
Media sebelum ini melaporkan antara bentuk penderaan yang dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal termasuk membakar tangan dan salah laku seksual.
Mangsa juga dipercayai menjadi mangsa liwat dan selepas diliwat mereka didakwa pula akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.
Susulan itu, pada 11 September polis menjalankan serbuan Op Global di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dan berjaya menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian serta penderaan.
#GISB
#Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd
#anak pemimpin Al-Arqam ditangkap
#Razarudin Husain
#terkini