[TERKINI] Kawasan tanah runtuh Taman Melawati diklasifikasi berisiko, penduduk diarah pindah
Astro Awani
Oktober 15, 2024 12:50 MYT
Oktober 15, 2024 12:50 MYT
AMPANG JAYA: Kawasan tanah runtuh berhampiran Jalan E6, Taman Melawati, Ampang di sini, telah diklasifikasikan sebagai berisiko dan penduduk diarah untuk berpindah dengan segera.
Pihak berkuasa termasuk polis, bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah mengarahkan penduduk di 18 rumah Jalan E6 supaya mengosongkan kediaman bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Terdahulu, kejadian tanah runtuh tersebut tular di media sosial melalui video yang menunjukkan runtuhan tanah berlaku berhampiran kawasan perumahan.
Aliran air deras dari bukit turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang di sekitar rumah dan kenderaan penduduk.
Beberapa penduduk turut berkongsikan video insiden itu di media sosial memaparkan kerosakan yang berlaku.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 11.42 pagi.
"Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi kejadian," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Syamsul Shahar memaklumkan kejadian tanah runtuh di lereng bukit berkeluasan 20x20 meter serta runtuhan berketinggian 30 meter.
"Insiden itu tidak melibatkan mangsa dan kediaman. Namun masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian," katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Chandra Kumar, berkata: “Sekitar 10:30 pagi saya dengar bunyi runtuhan yang kuat dan saya sedar kereta saya telah tertolak ke bahu jalan.
“Ketika saya cuba alihkan kenderaan, tiba-tiba ada runtuhan kedua dan anak jiran saya menjerit ketakutan.
“Kemudian (selepas keadaan agak tenang) saya alihkan kenderaan saya lima minit kemudian.
“Setakat ni kami diarahkan untuk berpindah sementara," katanya.