[TERKINI] HRD Corp: Tiada penahanan, 9 individu akan dirakam keterangan esok
Astro Awani
Julai 10, 2024 21:07 MYT
Julai 10, 2024 21:07 MYT
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan yang dijalankan ke atas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp)
susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dan Jawatankuasa Wang Negara (PAC).
Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim memberitahu Astro AWANI ketika dihubungi pada Rabu, kesemua individu itu diminta hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis.
Beliau juga mengesahkan tiada penahanan telah dilakukan setakat ini.
"Tida penahanan dilakukan. (Kita) baharu mendapatkan dokumen dari HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
"Esok (Khamis) kita akan panggil sembilan orang untuk dirakam keterangan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sebelum ini, sepasukan penyiasat SPRM dipercayai dilihat sekali lagi memasuki ibu pejabat HRD Corp di Jalan Beringin, Bukit Damansara di ibu negara pada petang Rabu.
Mereka dipercayai memasuki bangunan itu kira-kira jam 2.30 petang dan beredar dari situ dua jam selepas itu.
Semalam, pegawai penyiasat SPRM dilaporkan sudah mengambil dokumen dari pejabat HRD Corp di sini, dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Putrajaya.
Mereka dipercayai membawa keluar tiga kotak dokumen daripada pejabat HRD Corp, manakala di KESUMA Putrajaya, pegawai penyiasat membawa beberapa beg dpercayai berisi dokumen yang diperlukan untuk siasatan.
Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, dilaporkan berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam LKAN 2/2024.
Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 dilaporkan berkata Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit berkenaan.