Terkilan tak dapat jabat tangan ahli Bersatu - Muhyiddin

Ridauddin Daud
November 28, 2020 14:59 MYT
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin mengakui berasa terkilan kerana tidak dapat bertentang mata, berjabat tangan dengan ahli parti dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu pada tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin mengakui berasa terkilan kerana tidak dapat bertentang mata dan berjabat tangan dengan ahli parti dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu pada tahun ini.
Begitupun, Muhyiddin berkata, semua ahli harus menerima hakikat bahawa itulah norma baharu yang perlu diamalkan dalam usaha negara melawan dan membendung pandemik COVID-19.
“Walaupun persidangan ini diadakan secara maya, saya percaya semangat dan keterujaan kita semua untuk menunaikan tanggungjawab penting sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung parti tetap membara.
“Kita tunjukkan semangat kita ini dengan berpakaian lengkap dan hadir di tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh parti untuk mengikuti Perhimpunan Agung ini.
“Dari Perlis hingga ke Sabah, saudara saudari berhimpun dengan satu semangat dan tujuan untuk memperbaharui tekad menegakkan perjuangan parti kita yang kita cintai ini,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden secara maya dalam persidangan itu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua barisan kepimpinan parti dalam Majlis Pimpinan Tertinggi, sayap Armada dan Srikandi, serta kepimpinan Bahagian dan Cawangan di seluruh negara yang memenangi pemilihan pada Ogos lepas.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua barisan kepimpinan parti bagi penggal yang lalu atas segala sumbangan dan jasa bakti anda kepada parti,” ujarnya.
BACA: "Alangkah baik jika semua pemimpin Melayu, Islam dapat bersatu" - Muhyiddin
BACA: Bersatu guna logo Perikatan Nasional dalam PRU15 - Muhyiddin Yassin
#PPBM #Bersatu #Muhyiddin #presiden #perhimpunan #pemilihan #Malaysia #COVID-19 #pandemik #Perikatan Nasional #PN
;