"Terkejut lihat bongkah batu di dalam bas" - Penumpang

Bernama
September 2, 2018 18:17 MYT
Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku berikutan pemandu bas gagal mengawal kenderaan akibat dipandu laju sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat
"Saya terkejut melihat bongkah batu di dalam bas dan ketika saya cuba bergerak tangan kanan saya sudah terkulai akibat patah," kata Mohammad Syamim Zikri Mat Zaki.
Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar itu berkata, ketika kemalangan bas ekspres itu berlaku pada kira-kira 5 pagi, kebanyakan penumpang sedang tidur.
"Saya berterima kasih kepada orang awam yang membantu saya keluar dari bas sebab saya memang tak mampu berbuat apa-apa kerana bas sudah dipenuhi bongkah batu besar dan tangan kanan saya juga telah patah," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Batu Gajah di sini.
BACA: Dua maut, 12 cedera kemalangan bas ekspres
Mohammad Syamim, 18 tahun, penuntut tahun pertama Diploma Ukur Bangunan, antara 12 penumpang bas ekspres dua tingkat itu yang cedera dalam kemalangan di KM12.5 Lebuhraya Ipoh-Lumut itu semasa dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Lumut.
Dua yang maut di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Munzirah Jalaludin, 20, penuntut tahun akhir Diploma Hartanah UiTM Seri Iskandar dan pemandu bas Mohamad Azizul Che Aziz, 30.
Seorang lagi mangsa yang cedera, Wan Mohd Amer Erfan Wan Mohd Amin, 19, berkata beliau masih trauma apabila mengingat kembali detik cemas dilaluinya.
"Pandangan saya gelap dan kabur, ketika itu saya memang panik apabila melihat orang di kiri dan kanan tertiarap selain mendengar jeritan beberapa mangsa.
"Tapi saya tetap bersyukur saya hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kerana tersepit di bawah bangku hadapan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Supt Tan Boon Hooi ketika ditemui di Hospital Batu Gajah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku berikutan pemandu bas gagal mengawal kenderaan akibat dipandu laju sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan. -- Bernama
#bas ekspres #kemalangan bas #UITM Seri Iskandar
;