Terjun laut tinggalkan dadah RM3.55 juta

Sinar Harian
Disember 6, 2024 16:32 MYT
Rusley (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas Pasukan Polis Marin, Isnin lalu. - Foto Sinar Harian
LANGKAWI: Dadah bernilai RM3.55 juta yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran ke Pulau Langkawi sebagai destinasi transit di sini, digagalkan polis, pada Isnin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi khas itu dijalankan sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu kira-kira jam 11 malam.
Katanya, sebuah bot berjaya ditahan di kedudukan 6 batu nautika dari Pulau Lima Langkawi.
"Dua suspek telah bertindak terjun ke laut selepas menyedari kehadiran anggota operasi dan sehingga kini masih belum dikesan.
"Pemeriksaan ke atas bot terbabit menemui 102 bungkusan mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 107.581 kilogram bernilai RM3.55 juta," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, anggota operasi telah menyita bot dengan dua enjin bernilai RM200,050.
Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelas Rusley, PPM akan terus berusaha mempergiat rondaan, operasi dan risikan di kawasan tanggungjawab bagi membanteras jenayah penyeludupan sekali gus menjamin keselamatan negara daripada anasir jahat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang maritim boleh menghubungi Hotline Markas Operasi PPM Langkawi di talian 04-9668687 dan Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di talian 04-9666222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya. - Sinar Harian
#penyeludupan dadah #Langkawi #terjun laut #Pasukan Polis Marin
;