Terjemahan karya Melayu moden ke bahasa Rusia umpama dialog peradaban
Fahmi Izuddin
Februari 12, 2024 11:50 MYT
Februari 12, 2024 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Karya sastera Melayu moden yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Rusia dilihat sebagai sebuah dialog peradaban kedua-dua negara.
Menurut Sejarawan dan Penterjemah Rusia, Dr Victor A Pogadaev, setiap terjemahan karya yang dilakukan ke dalam bahasa Rusia dapat menjadi lambang silang budaya antara Malaysia dan Rusia.
Tambahnya lagi, menerusi terjemahan berkenaan, masyarakat Rusia secara amnya dapat mengenali sifat, dan keanggunan budaya Malaysia sebagai 'orang timur' secara artistik.
"Saya memandang kerja terjemahan sebagai sebuah dialog peradaban dalam bidang sastera antara kedua-dua negara. Misalnya, kalau ada karya-karya yang diterjemahkan dari bahasa Melayu ke bahasa Rusia jadi pembaca bahasa Rusia akan mengetahui lebih baik sifat orang Melayu dan keadaan di Malaysia.
"Dengan cara itu mereka dapat mengenal Malaysia dengan artistik dan bukan hanya berita-berita sahaja tetapi mereka akan mengetahui lebih mendalam segala-galanya itu.
"Sama juga, orang Malaysia akan mengetahui (budaya) melalui terjemahan bahasa Rusia ke dalam bahasa Melayu. Ini akan menggalakkan dialog budaya antara kedua negara," ujar beliau ketika menjadi tetamu dalam program AWANI Pagi pada Isnin.
Ditanya cabaran yang dihadapi dalam menterjemahkan karya puisi Melayu ke dalam bahasa Rusia, beliau menyifatkan perbezaan struktur puisi menjadi cabaran untuk memastikan penerimaan masyarakat Rusia.
"Jadi ada perbezaan dalam puisi Rusia dan pusi Melayu. Kalau puisi Rusia kebanyakkannya puisi beritma, dan kalau misalnya di Malaysia puisinya bebas dan tidak ada ritma.
"Saya melihat kadang-kadang saya menterjemahkan sama juga bebas seperti karya asal, tetapi ada juga yang saya terjemahkan secara ritma, kerana mahu menunjukkan bahawa karya itu boleh diterjemahkan dengan cara penulisan Rusia," tambah Pogadaev lagi.
Beliau yang aktif melakukan terjemahan sastera Melayu moden sejak era 70-an juga berkata, selain giat tertumpu pada aktiviti terjemahan, ia juga memberi penghormatan kepada hasil seni puisi, cerpen dan syair sasterawan Malaysia dan menjadikannya sebagai salah satu rujukan dalam pengajian Melayu di negara-negara luar.
Pada ketika ini, beliau merupakan satu-satunya idnividu yang aktif melakukan terjemahan karya Melayu moden ke dalam bahasa Rusia, sambil memberitahu, usaha tersebut tidak akan berkahir.
Ini kerana, beliau yakin bahawa akan ada pelapis yang akan menggantikan beliau bahkan anaknya sendiri juga aktif menja.di penterjemah dan mengkaji karya-karya klasik dan moden Melayu