Terjebak ah long: Perkenal pendidikan asas perakaunan di peringkat sekolah - Dr Mahathir
Hafizi Rosli
Mei 12, 2021 13:00 MYT
Mei 12, 2021 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pendidikan asas perakaunan boleh dipertimbangkan untuk diperkenalkan di semua peringkat sekolah termasuk seawal tadika.
Menurut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ini bagi memastikan masyarakat tidak berdepan dengan masalah kewangan sendiri dan perniagaan sehingga terjebak dengan hutang dari peminjam haram ataupun 'ah long'.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Mahathir menjelaskan asas perakaunan yang diajar tidaklah perlu rumit, sudah memadai untuk merekod perbelanjaan perniagaan dan pendapatan mereka kelak.
"Rekod perbelanjaan perlu dibuat setiap bulan bagi memastikan mereka tidak menggunakan wang melebihi daripada pendapatan.
"Sebilangan pengusaha baharu yang meminjam wang untuk menjalankan perniagaan, ada yang salurkan ke tempat lain seperti menggunakan untuk perbelanjaan kereta, tas tangan, hiburan dan berbelanja sehinggakan ia cecah 50 peratus," katanya.
Ini jelasnya akan memberi kesan kepada perniagaan mereka kelak.
Justeru, Dr Mahathir mencadangkan pendidikan asas perakaunan itu diperkenalkan seawal usia bagi memastikan masyarakat celik kewangan.
Ia juga akan melatih seseorang untuk bijak berbelanja dengan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.