Terjatuh dari pelantar ikan, kanak-kanak warga Rohingya ditemukan lemas
Amirrul Rabbani
Disember 1, 2022 14:24 MYT
Disember 1, 2022 14:24 MYT
BAGAN DATUK: Seorang kanak-kanak lelaki warga Rohingya berusia lingkungan 7 tahun yang terjatuh dari Pelantar Ikan Seng Lee, Hutan Melintang, dekat sini, pada Khamis, ditemukan lemas.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, mayat mangsa ditemukan terapung pada permukaan air oleh nelayan pada jarak 600 meter dari pelantar ikan berkenaan.
“Pada jam 11.16 pagi, mangsa telah berjaya ditemukan oleh nelayan dalam keadaan terapung pada permukaan air pada jarak 600 meter dari lokasi mangsa disyaki terjatuh.
“Pasukan Bomba membawa naik mangsa ke jeti dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, JBPM Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 7.08 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dengan bantuan BBP Teluk Intan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah digerakkan dan menggunakan teknik pencarian pada permukaan air yang meliputi radius 1 kilometer (km) dari lokasi mangsa disyaki terjatuh.
“SAR berkenaan membabitkan dua unit bot dengan disertai lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan dan lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Operasi yang diketuai Komander Penolong Pegawai Bomba (PPgB ) Asmahisham Ab Aziz itu tamat pada pukul 12.45 tengah hari.
Sementara itu, identiti mangsa dan punca kejadian masih dalam siasatan.