#TerimaKasihCikgu, jangan salahkan semua guru - Idris Jusoh
Astro Awani
September 19, 2014 10:58 MYT
September 19, 2014 10:58 MYT
Adalah tidak wajar masyarakat melemparkan persepsi yang negatif terhadap guru-guru yang komited dan ikhlas dalam mendidik pelajar-pelajar.
Demikian kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dalam satu kenyataan media ringkasnya hari ini.
Katanya, seharusnya masyarakat perlu sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada warga pendidik dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang besar ini.
“Majoriti guru adalah baik dan sememangnya kuat bekerja dan amanah. Kita tidak boleh menyalahkan semua kerana ada beberapa yang disyaki dan ditangkap” tegas beliau lagi.
Idris turut menyarankan agar masyarakat untuk bersama-sama dengannya mengucapkan ‘Terima Kasih Cikgu’ kepada guru-guru yang telah mendidik dengan penuh sabar dan kasih sayang.
Dalam kenyataan yang sama, Idris turut melancarkan hashtag #TerimaKasihCikgu bagi menggalakkan agar masyarakat tidak melupakan jasa-jasa seorang guru.
Kongsi kenangan anda bersama guru-guru. Mungkin ada di antara mereka yang telah menyampaikan pesanan yang mungkin telah mempengaruhi hidup anda hingga sekarang.
Kongsikan kenangan #TerimaKasihCikgu anda di Twitter, Facebook dan Instagram Astro AWANI.
Minggu lalu, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengumumkan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan pada Khamis ditangguhkan berikutan kebocoran kertas peperiksaan dikesan pada Selasa.
Keesokannya, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata kertas UPSR mata pelajaran Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga bocor, dikesan setelah pelajar menduduki kertas tersebut dan kerajaan menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Sehingga kini, seramai 22 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berikutan kes soalan UPSR bocor termasuk 14 guru, enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), masing masing seorang wartawan, ejen insurans dan jurutera.