Terima surat layang 'selamat datang' sebelum dihujani peluru

Sinar Harian
September 11, 2023 18:31 MYT
Mohamad Ismail (kanan) melihat telinga Mohd Yusof yang ditembusi peluru dalam kejadian serangan komunis seminggu selepas tragedi 13 Mei 1969. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Peristiwa sebulan selepas tragedi 13 Mei 1969 sehingga kini menjadi kenangan ngeri bekas Lans Koperal Pasukan Polis Hutan (PPH), Mohd Yusof Shahari, 75.
Menurut Mohd Yusof, kejadian tembak-menembak yang mengakibatkan beliau cacat kekal itu turut meragut nyawa empat rakan sepasukan dan ramai lagi yang cedera.
Mohd Yusof berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi beliau ditempatkan di sempadan Thailand, ketua operasi menerima satu surat layang bertulis 'selamat datang' yang dipercayai dihantar oleh komunis.


"Lokasi itu sebenarnya sudah diduduki komunis kerana tidak ada lagi penghuni lain sedangkan sebelum ini ia kawasan penebangan balak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Kawah.
Mohd Yusof sebelum itu menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin sempena program Jejaka Perwira bagi sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Berkongsi kejadian tembak-menembak dengan komunis itu, Mohd Yusof memberitahu, ketika itu pasukan mereka dalam operasi di kawasan berkenaan.
"Kami kemudian terdengar suara seorang perempuan memberi arahan dan tiba-tiba kami dihujani peluru dari kawasan berbukit sehingga keadaan menjadi kelam-kabut," katanya.
Bapa kepada enam anak yang berasal dari Perak itu berkata, serangan hendap berkenaan menyebabkan tiga butir peluru menembusi anggota badannya.
"Peluru pertama menembusi bahagian lutut sebelah kiri manakala peluru kedua menusuk di bawah siku dan ketiga menembusi bahagian atas telinga dan tembus keluar.
"Kaki saya juga tidak kuat dan terpaksa meniarap bagi mengelak dibunuh komunis," katanya.
Jelas beliau, ketika itu pasukan mereka sudah tidak berdaya melawan dan dia sendiri hanya mampu melihat mayat rakan saling bertindan antara satu sama lain.
"Lebih menyedihkan seorang rakan saya tidak mati kerana peluru yang menembusi bahunya tetapi ditikam di bahagian dada," katanya.
Mohd Yusof yang bersara pada 1 Disember 1994 sebelum itu ditugaskan di beberapa kawasan di seluruh negara.
"Ketika tragedi 13 Mei itu, saya bertugas di PPH Pengkalan Chepa iaitu pada tahun 1969 hingga 1975," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#surat layang #komunis #Mohd Yusof Shahari #tembak menembak #Kota Bharu #Hari Malaysia #Hari Kebangsaan
;