Terima suapan projek Pre Prihatin, bekas pengurus besar direman enam hari

Shuhada Abdul Kadir
Mac 15, 2023 04:31 MYT
Bekas pengurus besar sebuah agensi badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah. - Foto Sinar Harian
AYER KEROH: Seorang bekas pengurus besar sebuah agensi badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan direman enam hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM47,000, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 20 Mac ini terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh dengan berpakaian lokap diiringi pegawai SPRM pada jam 9 pagi.
Menurut kenyataan dikeluarkan SPRM, suspek ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM, Melaka antara jam 10 hingga 10.30 malam semalam.
Suspek ditahan selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM47,000 bagi projek di bawah pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat (Pre Prihatin).
Sogokan itu sebagai balasan memperakukan kesempurnaan projek kerja-kerja pembersihan, penyediaan tapak dan insfrastruktur bernilai RM90,000.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek telah memperakukan kesempurnaan projek berkenaan dengan balasan meminta dan menerima rasuah daripada syarikat yang berjaya memperoleh sebut harga tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Sabit kesalahan boleh didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
#pengurus besar agensi didakwa #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #direman #Mahkamah Ayer Keroh