Terima respons negatif, MBI perbaiki kelemahan Pesta Panjut Padang Ipoh tahun depan

Aida Aziz
April 29, 2023 14:31 MYT
Pesta Panjut Padang Ipoh yang bermula 15 hingga 24 April lalu didakwa tidak seindah seperti yang digambarkan. - Gambar/ Ihsan pembaca
IPOH: Rungutan dan aduan orang ramai berhubung isu pelita panjut yang tidak menyala seperti yang sepatutnya di Padang Ipoh baru-baru ini, mendapat perhatian daripada Datuk Bandar Ipoh.
Menurut Datuk Rumaizi Baharin, beliau mengambil maklum kelemahan yang timbul sepanjang pesta panjut tersebut dianjurkan di kawasan terbabit ketika penghujung Ramadan hingga 24 April lalu.
"Kita ambil maklum (rungutan) sebenarnya program panjut untuk tahun ini sekadar percubaan sebelum dilanjutkan pada tahun seterusnya.
"Paling penting pesta panjut ini adalah untuk tahun depan sempena Tahun Melawat Perak 2024, tahun ini jika ada kelemahan kita akan lihat bagaimana untuk menambah baik pengurusan panjut itu.
"Mungkin kita kena pastikan ada orang yang boleh siap sedia untuk jaga api pelita itu bagi pastikan ia kekal hidup dan tidak terpadam," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu Pesta Panjut Padang Ipoh yang bermula 15 hingga 24 April lalu yang didakwa tidak seindah seperti yang digambarkan.
Kebanyakan maklum balas daripada orang ramai mengatakan lokasi tersebut kurang bersesuaian di samping panjut yang rata-ratanya terpadam tanpa pengawasan daripada pihak MBI, sekali gus menyebabkan suasana hambar.
Ada juga yang kecewa kerana pesta panjut yang sepatutnya meriah seperti diuar-uarkan, tidak menggambarkan keadaan sebenar sehingga merencatkan orang ramai untuk merakamkan gambar kenangan.
Sebelum ini, Rumaizi berkata pesta panjut yang julung-julung kali dianjurkan di lokasi ikonik Padang Ipoh akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Beliau berkata, program tersebut antara lain bertujuan menyemarak tradisi panjut di bandar raya ini kepada orang ramai, yang sebelum ini lebih sinonim di Kuala Kangsar.
Untuk permulaan tahun ini ia hanya dilaksanakan di peringkat sektor MBI, namun diperluas kepada kategori orang ramai untuk tahun berikutnya.
#Pesta Panjut #Padang Ipoh #pengunjung kecewa #api terpadam
;