Terima rasuah RM10,000: Dua penjawat awam ditahan

Bernama
Julai 22, 2024 13:50 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM10,000. - Gambar hiasan/BERNAMA
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM10,000.
Sumber SPRM berkata dua lelaki itu ialah seorang pegawai dan seorang Pembantu Am di sebuah agensi kerajaan negeri di Tanah Merah.
"Kedua-dua suspek lelaki berusia 33 dan 49 tahun itu, ditahan di ibu pejabat SPRM Kelantan selepas selesai memberi keterangan pada 4.30 petang tadi.
"Beberapa hari sebelum ini SPRM ada menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 60-an berkaitan kes itu di Tanah Merah," kata sumber itu kepada Bernama hari ini.
Sumber berkata berdasarkan laporan, lelaki itu mendakwa menyerahkan wang RM10,000 kepada suspek awal bulan ini bagi melepaskan mesin kerja-kerja hutan yang ditahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua lelaki berkenaan dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu esok untuk permohonan reman.
-- BERNAMA
#SPRM Kelantan #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #terima rasuah #penjawat awam ditahan