Terima keputusan PM, beri ruang kepada Latheefa dan SPRM jalankan tugas - Anwar
Kenyataan Media
Jun 10, 2019 19:12 MYT
Jun 10, 2019 19:12 MYT
PELANTIKAN Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Polemik terbuka secara berterusan ini dikhuatiri akan mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej Kerajaan PH.
Saya yakin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan PH akan menilai segala pandangan dengan penuh prihatin dan selanjutnya akan menjelaskan kepada kabinet dan Majlis Presiden PH.
Maka dengan ini saya menggesa semua rakan-rakan menerima keputusan Tun Dr Mahathir dan memberikan ruang kepada Latheefa dan SPRM untuk melaksanakan tugas dengan tegas dan berkesan.
Secara positif polemik tersebut telah memperkukuh komitmen PH untuk memastikan SPRM melaksanakan tugas secara adil selaras dengan kenyataan Tun Dr Mahathir di Melaka hari ini bahawa penjawat awam menjadi golongan berkecuali dan mengelakkan diri dari ikatan terlalu kuat dengan parti politik di belakang kerajaan memerintah.
SPRM dituntut bertindak terhadap semua kes rasuah sama ada pentadbiran lama dan baharu. Pimpinan PH, NGO dan rakyat pasti akan terus memantau perjalanan dan keberkesanan agensi itu.
Anwar Ibrahim
#Anwar Ibrahim
#implikasi negatif
#kerajaan
#Ketua Pesuruhjaya SPRM
#Latheefa Koya
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#penjawat awam
#Perdana Menteri
#Polemik
#politik
#rakyat
#Rasuah
#SPRM