'Terima kasih sudi tolong kami'
Sinar Harian
Jun 25, 2021 11:17 MYT
Jun 25, 2021 11:17 MYT
IPOH: Penderitaan dua beranak yang hanya makan sekali sehari disebabkan kesempitan hidup seperti dilaporkan Sinar Harian pada Khamis mendapat perhatian banyak pihak.
R Suganthi, 53, berkata, dia menerima berpuluh panggilan yang menyatakan kesudian untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan demi kelangsungan hidup bersama anak perempuannya, M Lalithambiga, 33.
"Sejak petang semalam banyak panggilan masuk. Ada yang daripada individu, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan jabatan kerajaan.
"Masing-masing mahu berjumpa untuk sampaikan bantuan makanan.
"Saya terharu dan ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi membantu saya dan anak saya," katanya ketika dihubungi, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, memahami keperluan jangka panjang mereka, ada juga yang mengubunginya untuk membantu bantuan rumah dan mendapatkan pekerjaan.
"Kalau boleh saya memang nak kerja, sebelum ini pun saya boleh bekerja dan dapat tampung hidup kami dua beranak.
"Hidup kami berubah hanya apabila saya hilang pekerjaan disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.
Dalam pada itu, Suganthi turut melahirkan rasa kesal apabila ada pihak yang menuduh mereka sengaja mereka cerita mengenai kesusahan hidup.
Katanya, ada yang memberi komen mencerca dan tidak kurang kenalan terdekat yang menghubungi mengatakan mereka sengaja meraih simpati orang ramai.
"Saya tahu ketika PKP ini ramai orang susah, malah ada banyak lagi ibu-ibu tunggal di luar sana yang lebih susah daripada saya.
"Saya hanya kongsi kesusahan hidup dan mohon bantuan makanan kepada yang sudi bantu, itu sahaja," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian: 'Terima kasih sudi tolong kami'
#ikat perut
#kutip sayur
#makan sekali sehari
#Suganthi
#Lalithambiga
#NGO
#PKP
#orang susah
#hulur bantuan
#ibu tunggal
#kesusahan hidup