Terima kasih semua, legasi Payung Rahmah akan terus diperjuangkan

Nickyson Nyambar
Julai 25, 2023 22:47 MYT
Kata Fuziah, Allahyarham telah banyak meninggalkan jasa yang tidak ternilai untuk kesejahteraan rakyat dan negara terutamanya menerusi inisiatif Payung Rahmah. - Gambar fail/FB Salahuddin Ayub
KUALA LUMPUR : "Pastinya itu semua akan menjadi amal jariah yang terus mengalir untuk Allahyarham (Datuk Seri Salahuddin Ayub) sampai akhirat,".
Demikian doa yang dititipkan Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Fuziah Salleh dalam mengenang jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Allahyarham.
Kata Fuziah, Allahyarham telah banyak meninggalkan jasa yang tidak ternilai untuk kesejahteraan rakyat dan negara terutamanya menerusi inisiatif Payung Rahmah.
"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada KPDN, rakyat dan negara kerana kepimpinan Allahyarham banyak memberi impak positif kepada usaha-usaha menangani isu kos sara hidup rakyat.
"KPDN amat yakin semua usaha-usaha serta sumbangan Allahyarham ketika menjadi Menteri KPDN akan terus diperjuangkan sebagai legasi yang hidup sepanjang zaman dan kelestarian inisiatif-inisiatif seperti Payung Rahmah akan terus dilaksanakan dengan terancang dalam tahun-tahun yang mendatang
demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa semoga pengorbanan Allahyarham mendapat ganjaran yang setimpal dari Ilahi dan ditempatkan di tempat yang paling mulia bersama para solihin dan syuhada.
Dalam kesempatan itu juga, beliau mengucapkan terima kasih diatas penglibatan semua pihak termasuk para pemimpin, kakitangan kementerian dan hospital sehingga urusan pengebumian jenazah selesai pada Isnin.
"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar, Menteri-Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad dan semua rakyat yang telah hadir menziarahi Allahyarham sehingga pengurusan jenazah di Kedah dan Johor selesai.
"Saya juga ingin menzahirkan rasa syukur dan amat berpuas hati atas kerjasama yg diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak pengurusan dan barisan pegawai perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah dalam menguruskan operasi dan penjagaan Allahyarham ketika dalam rawatan
di ICU.
"Secara khusus juga, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pegawai KPDN di semua peringkat terutama pegawai-pegawai KPDN negeri Kedah dan KPDN Negeri Johor yang telah menyelaraskan kerja-kerja yang diperlukan bagi melancarkan pengurusan dan pengebumian sehingga jenazah
Allahyarham selamat disemadikan di Johor bersebelahan dengan pusara keluarga seperti yang dipinta," ujarnya.
Beliau antara lain turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang telah membantu menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara khas untuk membawa jenazah Allahyarham dari Alor Setar ke Johor.
Penghargaan sama turut dititipkan buat seluruh krew dan kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan kakitangan lapangan terbang.
Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 9.23 malam Ahad.
Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital setelah dilaporkan mengalami mual dan muntah-muntah dan telah selesai menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam otak.
#pendarahan dalam otak #meninggal dunia #Payung Rahmah #kpdn
;