Terima kasih RTM, tampil kerjasama dengan Astro AWANI jayakan Debat Ekonomi Rafizi-Syahir
Astro Awani
Ogos 1, 2023 22:44 MYT
Ogos 1, 2023 22:44 MYT
KUALA LUMPUR : Media milik kerajaan, RTM tampil bersama memberi sokongan dan bekerjasama menjayakan Debat Ekonomi anjuran Astro AWANI melibatkan dua tokoh, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Menurut Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, satu diskusi penyelarasan debat akan dibuat antara kedua-dua belah pihak pendebat dan Astro AWANI dalam masa terdekat bagi merencana sekali gus membentuk persetujuan dan kesepakatan berkaitan program.
"Ya, Alhamdulillah. Ramai yang tampil bagi meraikan percambahan idea melalui platform debat di Astro AWANI.
"Kami bersedia bekerjasama dengan semua pihak selain Sinar Harian yang selama ini merupakan rakan strategik Astro AWANI. Pihak RTM juga tampil bekerjasama, terima kasih kepada Ketua Pengarah Penyiaran Suhaimi Sulaiman.
"Astro AWANI akan mengusulkan dalam diskusi penyelarasan debat dan menyerahkan sepenuhnya kepada konsensus, persetujuan dan kesepakatan yang bakal diputuskan oleh kedua-dua belah pihak pendebat," kata Ashwad ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu menjelang 9 Ogos nanti.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam ciapannya di laman sosial 'X' sebelum ini secara ringkas mengucapkan terima diatas kesudian dua platform penyiaran ini untuk menganjurkan debat bersama Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Ujarnya, antara proses demokrasi yang matang adalah rakyat dapat membanding bezakan rancangan dan visi mana-mana parti politik yang mahukan undi rakyat.
Sementara itu, menurut Syahir, persetujuan itu dibuat setelah beliau mempertimbangkan semula jemputan Rafizi dan mendapat keizinan pucuk pimpinan.
Justeru itu katanya, pemilihan tarikh, moderator, format, dan media diserahkan kepada pihak Rafizi untuk ditetapkan.
Bagaimanapun Syahir mencadangkan agar tajuk yang diguna pakai adalah 'Malaysia Lebih Baik'.
Beliau berkata demikian dalam e-mel yang dihantar kepada Rafizi pada Selasa.
#Debat Ekonomi Malaysia
#RTM
#Astro Awani
#Menteri Ekonomi
#Rafizi Ramli
#Ahli Parlimen Bachok
#Syahir Sulaiman
#demokrasi