"Terima kasih Ni sebab sentiasa ada di sisi Sabri" - Nota penghargaan PM buat isteri
Astro Awani
Ogos 22, 2021 13:23 MYT
Ogos 22, 2021 13:23 MYT
KUALA LUMPUR: Kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesetiaan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin mendampinginya selama ini tidak cukup untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Kehadiran isteri tercinta yang mula dikenalinya sejak usia Perdana Menteri 19 tahun sehingga mereka mendirikan rumah tangga sesuatu yang amat dihargai.
Justeru, sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, Ahli Parlimen Bera itu menyimpulkan penghargaan buat Muhaini yang juga ibu kepada anak mereka dalam catatan istimewa di Facebook peribadi beliau.
Muhaini disifatkan Ismail Sabri sebagai seorang wanita yang sangat sederhana dan kurang gemar menjadi perhatian lensa kamera dan kerana itu kelibatnya jarang kelihatan.
Perdana Menteri menyapa isterinya dengan panggilan Nani atau Ni, sementara Sabri pula menjadi sapaan Muhaini buat suami tercinta
“Nani adalah seorang yang sangat simple dan sentiasa tak mahu berada di bawah spotlight, sebab itu jarang sangat nampak dia. Thank you Ni, sebab sentiasa ada di sisi Sabri.
“Daripada Sabri tak ada apa-apa sehinggalah ke hari ni. Susah senang bersama,” tulis Ismail Sabri dalam hantaran itu.
Mengiringi hantaran itu ialah sekeping foto Muhaini sedang membetulkan butang baju Melayu suaminya sebelum mereka bergerak ke Istana Negara bagi menghadiri majlis angkat sumpah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada Sabtu.
#ismail sabri yaakob
#Muhaini Zainal Abidin
#isteri Perdana Menteri
#Perdana Menteri
#Ahli Parlimen Bera
#Muhaini
#Nani
#Ni
#Sabri
#Terima kasih Ni
#sentiasa ada di sisi Sabri