Terima kasih kerana menjadi datuk paling hebat - Puteri Afzan Shakira

Astro Awani
Mei 22, 2019 11:46 MYT
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah digambarkan sebagai seorang datuk yang hebat dan penyayang. - Gambar fail BERNAMA
BERITA kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah pada pagi Rabu disambut dengan kesedihan daripada pelbagai lapisan rakyat di seluruh negara.
Ini kerana Almarhum seorang raja yang cukup dekat dengan masyarakat selain sentiasa mengambil berat apa sahaja masalah yang dihadapi oleh segenap lapisan rakyat.
Demikian juga dalam kalangan ahli keluarga diraja Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah digambarkan sebagai seorang datuk yang hebat dan penyayang.
Keperibadian menawan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dikongsi cucunda baginda, Puteri Afzan Shakira Nabila dalam laman sosial Instagramnya.
Puteri Afzan Shakira Nabila menyatakan bagaimana Almarhum telah bergelar seorang nenda yang luar biasa bagi keluarga diraja itu.
Sultan Haji Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi ini.
Berita kemangkatan tersebut disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pagi ini.
"Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.
"Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar Pahang pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut meminta semua rakyat bersama-sama mendoakan semoga roh Almarhum Sultan Ahmad Shah dirahmati dan ditempatkan bersama pada syuhada.
BACA: Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat di IJN
#Instagram #Institut Jantung Negara #mangkat #Puteri Afzan Shakira #rakyat #Sultan Ahmad Shah #Sultan berjiwa rakyat