"Terima kasih kerana mengingati Sudirman" - Atai
Saharudin Musthafa
Februari 22, 2019 17:08 MYT
Februari 22, 2019 17:08 MYT
SELAIN Datin Rudiah Arshad, Razman Azrai Zainudin atau lebih mesra disapa sebagai Atai merupakan sosok tubuh yang sangat rapat dengan penghibur ternama, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Ketika hayat Sudirman, Atai sering dilihat menemani bapa saudaranya yang manja disapa Cokman.
Selang masa berlalu, Atai semakin menyepi dari dunia hiburan. Barangkali, sibuk memberi tumpuan pada kerjaya dan keluarga.
Sebagai orang yang pernah rapat dan membesar dalam lingkaran dunia hiburan, bagaimana agaknya perasaan Atai apabila melihat peminat, rakan-rakan dan wartawan masih lagi mengenang bapa saudaranya itu?
Kepada Atai, soalan ini ditanya dan mengenali lelaki berusia 46 tahun itu masih merendah diri, sama personalitinya seperti dahulu.
"Mestilah terharu. Mengenali Cokman (sekiranya Sudirman masih hidup), beliau tentu sekali akan sama gembira kerana masyarakat masih ingat padanya di tahun 2019," kata Atai dalam satu perbualan dengan Astro AWANI dari Kemboja pada Jumaat.
Atai kini berada di sana atas urusan kerja.
Sebagai anak saudara yang membesar melihat kejayaan Allahyarham Sudirman, Atai mempunyai pemahaman beliau sendiri mengenai kerjaya seni bapa saudaranya itu.,
Dari perspektif Atai, Allahyarham Sudirman bukanlah seorang penyanyi atau seorang penghibur.
"Allahyarham mewakili masa silam kita. Harapan saya generasi masa depan akan mengetahui sejarah beliau dan akan berkongsi segala memori dan nilai yang ditinggalkan," kata Atai menyambut perbualan.
Enggan bapa saudaranya yang juga penghibur terbaik Asia pada 1989 diberikan pengiktirafan melimpah ruah, apa yang paling utama, kata Atai ialah, memadai untuk masyarakat mempelajari lebih banyak tentang Sudirman melalui cara yang betul.
"Mempelajari mengenai kisah Allahyarham sama seperti kita mempelajari sejarah kita sendiri," ujarnya lagi.
Allahyarham Sudirman merupakan seniman terbilang negara yang menempa kemasyhuran yang luar biasa ketika hayatnya.
Penyanyi kesayangan ramai itu membawa perspektif baharu dalam landskap dunia hiburan sekitar tahun 1980-an hingga awal 1990-an.
Dikenali sebagai penghibur rakyat, Allahyarham Sudirman ketika zaman kegemilangannya merakamkan banyak album serta meraih pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.
Namun takdir telah menentukan, hayat Sudirman bernokhtah ketika usianya 37 tahun apabila beliau meninggal dunia pada 22 Februari 1992.
Sekiranya masih hidup, Allahyarham Sudirman akan berusia 64 tahun.
Pemergian Sudirman membawa seluruh kecintaan dan aspirasinya pada dunia seni.
Kini sudah 27 tahun Sudirman bersemadi di tempat berehat paling abadi.
Seperti kerinduan Atai pada Cokmannya yang tidak pernah padam, demikian juga buat sebilangan besar peminat-peminat Allahyarham Sudirman.
Abang Sudir, kamu akan terus dirindui. Al-Fatihah...