Terima kasih 'frontliners', anda adalah wira kami - Abang Johari

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 31, 2020 20:24 MYT
Sarawak telah membuktikan keupayaannya dalam memantau dan mangawal penularan COVID-19 dengan berkesan.
KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menzahirkan perasaan terima kasih dan terharu dengan dedikasi petugas barisan hadapan Sarawak yang bekerja keras menangani penularan wabak COVID-19 sepanjang tahun 2020.
Kerana itu kata Ketua Menteri, beliau mewakili kerajaan negeri menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja keras dan sumbangan cemerlang mereka yang berkorban sehingga wabak tersebut mampu ditangani.
"Anda adalah wira kami. Semoga kalian sentiasa dilindungi dan diberi kekuatan serta semangat yang luar biasa dalam melaksanakan amanah," katanya dalam perutusan tahun baharu yang disiarkan secara langsung sempena Malam Ambang Tahun 2021 di Stadium Perpaduan, di Kuching.
Abang Johari menegaskan, Sarawak telah membuktikan keupayaannya dalam memantau dan mangawal penularan COVID-19 dengan berkesan.
Malah pembudayaan norma baharu dalam kehidupan harian jelas Abang Johari, wajar dipraktik dan diteruskan selagi wujudnya ancaman wabak itu.
"Pada masa yang sama, kita amat bersyukur kerana rakyat Sarawak dapat hidup bersatu padu dalam suasana aman dan penuh harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik, agama dan budaya," katanya.
Sempena tahun baharu 2021, Ketua Menteri berharap rakyat negeri ini berazam untuk terus memajukan agama, bangsa dan tanah air.
Katanya, tahun baharu itu penting kerana ia merupakan permulaan untuk menuju ke tahun 2030, detik impian menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi.
"Ketika ini, Sarawak berada di landasan yang tepat dengan asas ekonomi yang kukuh dan kedudukan kewangan mantap. Ramai anak Sarawak telah berhijrah pulang dan bekerja dalam sektor petrokimia, Sarawak Metro dan SMA.
"Saya menjangkakan lebih ramai lagi yang akan kembali apabila ekonomi kita bertukar positif kepada ekonomi moden dalam tempoh sepuluh tahun akan datang," katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, rakyat Sarawak diharap tidak akan memperjudikan masa depan mereka dan negeri ini, sebaliknya bersatu untuk mewujudkan kerajaan yang teguh dan stabil, yang pasti akan menguntungkan dan memakmurkan negeri ini.
#Abang Johari Tun Openg #petugas barisan hadapan #Sarawak maju #COVID-19 #kemajuan Sarawak #frontliners
;