Terima dana asing: Pemuda Pas gesa polis siasat DAP
Astro Awani
Februari 13, 2019 18:16 MYT
Februari 13, 2019 18:16 MYT
Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan keatas parti DAP berhubung dakwaan dana asing yang diterima parti itu bagi aktiviti politik.
Ketua Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata dakwaan itu sangat serius dan yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
“Isu yang serius kerana ia sudah lama didedahkan dalam blog-blog dan portal. Ia mendedahkan dana asing yang diterima oleh pihak DAP melalui beberapa agensi ataupun badan-badan yang berkait dengannya yang ketika itu adalah satu perkara yang sangat besar dan mengancam keselamatan negara.
“Ia perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Saya harap dengan membuat laporan polis pada hari ini, pihak berkuasa hendaklah mengambil satu tindakan tegas untuk menyiasat apa yang berlaku,” ujar Muhammad Khalil.
Beliau bersama lebih 50 Pemuda Pas yang lain tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada Rabu.
Antara dakwaan yang serius sebelum ini adalah pendedahan bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Mohamad Razali Abdul Rahman yang mendakwa DAP mengambil wang rasuah RM300 juta dari Israel.
Selain itu, Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining secara terbuka menyatakan bahawa pihaknya memberi dana kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Muhammad khalil yang juga ADUN Batu Buruk itu meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terperinci terhadap akaun rasmi parti DAP dan akaun peribadi pemimpin utama parti itu sama ada benar ada benar menerima dana asing atau sebaliknya.
#dakwaan
#DAP
#Israel
#Muhammad Khalil Abdul Hadi
#Pakatan Harapan
#PAS
#Pemuda Pas
#terima dana asing