KUCHING: Masyarakat disaran untuk menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan masa kini tetapi perlu bijak dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tanpa pematuhan SOP dalam kehidupan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing berkata seseorang individu masih boleh dijangkiti virus walaupun sudah menerima dua dos lengkap vaksin.

"Bagaimanapun dari segi risiko kematian adalah kurang, ini terbukti apabila dalam kajian data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) COVID-net bahawa individu yang tidak divaksin adalah 17 kali ganda berisiko untuk dimasukkan ke hospital.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah melaporkan baru-baru ini 99.85 peratus mereka yang didapati positif di Sarawak adalah kategori 1 dan 2 yang tidak mengancam nyawa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, pemahaman mengenai perkara ini harus dipandang serius bagi mengelak sebarang salah faham berhubung pengambilan vaksinasi COVID-19.

"Saya kagum dengan infografik yang dikeluarkan JPBB Sibu untuk membandingkan jumlah pesakit dimasukkan dalam wad hospital antara mereka yang divaksin dan tidak divaksin. Mungkin kerajaan negeri boleh menggunakan konsep ini untuk menerangkan kepada penduduk di seluruh negeri.

"Kebanyakan masyarakat hari ini tidak membaca surat akhbar, mereka mungkin gagal untuk memahami data yang disediakan dan mereka masih menyimpan ketakutan yang tidak berasas terhadap COVID-19 walaupun selepas penemuan vaksin,” cadang Masing.

Dalam pada itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus dihentikan secara berperingkat ketika peralihan COVID-19 sebagai endemik di dunia ini.

“PKP tidak menghentikan COVID-19 tetapi ia menekan kehidupan manusia. Sekiranya 80 peratus jumlah populasi rakyat Sarawak telah divaksin, aktiviti masyarakat akan kembali normal, pekerjaan, perindustrian, pertanian, dan pejabat akan kembali dibuka.

"Bagaimanapun SOP yang lebih ketat masih perlu dikuatkuasakan. Tema ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ masih digunakan," katanya.