Teriakan suara keluarga Nora Anne bakal berkumandang, bantu jejaki remaja Ireland hilang
Shuhada Abdul Kadir
Ogos 8, 2019 14:05 MYT
Ogos 8, 2019 14:05 MYT
Polis akan memainkan rakaman suara keluarga Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Nilai, Negeri Sembilan, sebagai usaha mengesan kedudukan dan membawa remaja itu keluar dari hutan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata setiap anggota terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu juga akan menjerit nama mangsa ketika berusaha mengesan remaja berkenaan.
Beliau berkata, cadangan itu adalah atas arahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor.
Ujarnya, memandangkan hari ini memasuki hari kelima, mangsa mungkin berada dalam keadaan keletihan dan pihak polis percaya dengan cara berkenaan, mangsa dapat dikejutkan.
“Dia (Timbalan KPN) menyarankan kita menggunakan rekod, kita akan menemubual ibu bapa untuk kita ketahui apakah suara-suara yangg mangsa suka.
“Sama ada yang lebih rapat dengan emak dengan ayah ataupun dengan adik. Kita guna strategi ini,” katanya selepas sesi taklimat berhampiran lokasi kejadian, pada Khamis.
Mengulas lanjut ujarnya, pada SAR hari kelima ini, seramai 242 pegawai dan anggota terlibat digerakkan ke lokasi pencarian.
Antara agensi keselamatan lain yang terlibat dalam SAR adalah polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan Negeri dan dua unit dron dari syarikat swasta Sapura.
Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM akan digunakan hari ini dengan tambahan teknologi yang lebih canggih.
Dalam pada itu, polis turut mengalu-alukan maklumat, cadangan termasuk usaha alternatif mengikut kepercayaan agama masing-masing termasuk mengadakan solat hajat.
Katanya, ia supaya tindakan segera dapat diambil.
#bomba
#GERAKAN
#keselamatan
#Ketua Polis Daerah Nilai
#Ketua Polis Negara
#KPN
#Malaysia
#mangsa
#Mohd Nor Marzukee Besar
#Negeri Sembilan
#nilai
#Nora Anne Quoirin
#operasi
#PDRM
#remaja
#remaja Ireland hilang
#Semenyih