Terhidu gas beracun: Seorang maut, seorang kritikal, 6 dalam pemantauan
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 1, 2025 12:30 MYT
Februari 1, 2025 12:30 MYT
BUTTERWORTH: Sebuah kilang di Perai, di sini, diarah tutup selepas terdapat insiden seorang pekerja maut, seorang kritikal manakala enam berada dalam pemantauan akibat terhidu gas beracun dari bahan kimia berbahaya, pada 29 Januari lalu.
Arahan penutupan dibuat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang membabitkan keseluruhan kawasan lokasi fumigasi di kilang itu sehingga siasatan selesai dijalankan.
Selain itu, notis larangan penggunaan bahan kimia berbahaya iaitu ‘ Methyl Bromide‘ juga telah dikeluarkan pihak JKKP .
Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan siasatan awal insiden melibatkan pekerja dari syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak yang bertujuan menghapuskan serangga di kilang terbabit selama lapan hari bermula 21 hingga 28 Januari lalu yang keseluruhannya lapan pekerja ditugaskan bagi kerja berkenaan.
“Namun,seorang pekerja dilaporkan telah kembali semula ke lokasi fumigasi dijalankan pada 29 Januari bersama seorang lagi rakannya untuk mengambil bacaan gas di salah sebuah bangunan di kilang terbabit.
“Mereka berdua kemudian dilaporkan telah mengalami muntah dan sesak nafas serta pengsan selepas meninggalkan premis itu dan segera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
“Bagaimanapun, seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di hospital pada 30 Januari, manakala seorang lagi mangsa masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, doktor yang merawat kedua-dua mangsa juga telah mengalami sesak nafas dan sakit tekak selepas membuat rawatan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa.
“Dalam insiden itu, enam lagi pekerja yang telah mengalami simptom awal pendedahan kepada gas beracun telah dibenarkan pulang ke rumah tetapi masih di bawah pemantauan." katanya.
Tegasnya, JKKP turut mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada Jabatan.
“Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenal pasti.
“ Lawatan susulan ke premis majikan akan dijalankan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil."
Tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran, dan hukuman maksimum terhadap majikan adalah sebanyak RM500,000 jika didapati sabit kesalahan.