Terharu, teruja dapat rumah sekali ganda lebih luas

Astro Awani
Mac 26, 2021 17:54 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada pemilik kediaman Residensi Razakmas2, Yusof Abd Rahman (dua dari kanan) pada Jumaat. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR : Berpindah dari rumah dengan keluasan kira-kira 400 kaki persegi ke kediaman yang sekali ganda lebih besar, ungkapan syukur dan terharu acap kali terpacul dari mulut penerima kondominium Residensi Razakmas2 di Bandar Tun Razak, Cheras.
Tidak pernah terlintas di fikiran mereka berpeluang mendiami sebuah kondominium dan apa yang lebih menggembirakan ialah, kediaman itu milik mereka sendiri.
Antara yang tidak lekang-lekang mengucapkan kesyukuran ialah Rohani Hussin, 62, yang sejak dahulu lagi tidak pernah mengimpikan bakal memiliki rumah secantik itu.
“Kita biasa duduk rumah sempit, dalam keadaan rumah lama dah bocor, anak ramai, dalam keadaan rumah yang lama (usang) tapi saya cakap terus-terang, saya tak sangka dapat rumah sebegini.
“Saya tak dapat nak gambarkan perasan itu macam mana. Rasa nak menangis pun ada. Saya ini ibu tunggal. Jadi kita rasa kesusahan ini, kita alami pelbagai perkara nak dapatkan seperti ini,” katanya kepada Astro AWANI selepas menerima replika kunci dalam majlis penyerahan kunci Residensi Razakmas2 pada Jumaat.
Bagi Thalathiyah Abdul Hamid, 55, pula, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya memiliki rumah tersebut dan menganggap kediaman berkenaan rezeki buatnya dan keluarga.
“Ini kira rezeki saya selama saya duduk di sana (Flat Sri Labuan) selama 22 tahun dengan satu bilik.
“Ini adalah pemberian ALLAH yang tidak dapat dilupakan. Ini rezeki Ramadan (buat saya dan keluarga),” ujarnya lagi.
Perasaan yang sama dikongsi dikongsi L Mageswary, 54, yang sejak dari awal perbualan sentiasa menyatakan syukur dan gembira kerana mendapat rumah baharu yang cantik dan luas.
“Seronoklah, gembira sangat. Saya nak beritahu Tan Sri (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin), saya nak cakap terima kasih kepada beliau.
“Bagus rumah ini. Tadi saya pergi tengok, cantik rumah itu, saya gembira sangat,” katanya penuh teruja.
Seramai 395 pemilik rumah menerima rumah Residensi Razakmas2 secara percuma manakala 245 penyewa ditawarkan pemilikan rumah dengan harga subsidi RM198,000.
Rumah berkeluasan 805 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta berbumbung, dewan serbaguna dan taman permainan.
#rumah #kondominium #Flat Sri Labuan #flat #kerajaan #menteri #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #PM #subsidi #keluarga #Cheras #Bandar Tun Razak #Residensi #Razakmas
;