Tergamak belasah ibu sendiri hanya kerana air tangki habis
Abd Razak Mohd Ali
Mei 23, 2021 16:20 MYT
Mei 23, 2021 16:20 MYT
TELUK INTAN: Polis menahan seorang wanita kerana mendatangkan kecederaan dan mengugut ibu kandungnya, semata-mata kerana tidak dapat mandi berikutan air tangki kehabisan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam tadi (Sabtu) di sebuah rumah di Taman Intan Emas di sini.
Menurutnya, suspek berusia 30 tahun yang mempunyai ijazah tetapi tidak bekerja, menengking dan menuduh ibunya (pengadu) sengaja mencari pasal dengannya.
Katanya, mangsa telah ditolak, ditonjol kepalanya beberapa kali dengan tangan, ditendang di kiri dan kanan paha, dipukul di sebelah kiri muka dan jari manisnya turut dipukul sehingga bengkak.
“Pengadu juga mengalami kecederaan lain iaitu bengkak dan calar pada pipi kiri serta mata sebelah kiri bengkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, selain ibu, suspek turut mengugut adik perempuannya yang berumur 17 tahun dengan berkata, “jangan sampai ada yang mati di tangan aku”.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal bersama ibunya setelah diberhentikan kerja dari sebuah bank di Kuala Lumpur sejak hujung tahun 2014.
“Suspek sering bertengkar dengan pengadu hinggakan suspek ada beberapa kali memukul pengadu dan merosakkan barang-barang di dalam rumah,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Beliau berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan Hospital Teluk Intan dan membuat laporan polis.
Ahmad Adnan memberitahu, suspek ditangkap di rumahnya pada jam 2 pagi tadi dan direman selama empat hari sehingga 26 Mei untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.