Teresa Kok tuntut permohonan maaf, ganti rugi RM30 juta daripada Ketua Pemuda Pas Selangor

Bernama
Januari 23, 2019 22:11 MYT
Dalam satu artikel, Teresa digambarkan sebagai menentang Islam, rasis dan seorang menteri yang tidak adil dan tidak jujur. - Gambar fail
Menteri Industri Utama Teresa Kok pada Rabu menuntut permohonan maaf dan RM30 juta pampasan daripada Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Halim, terhadap satu artikel yang dianggapnya fitnah yang mendakwa Kok sebagai menentang Islam; atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Firma guaman itu berkata kandungan artikel itu dalam makna biasa dan semula jadi menggambarkan Kok sebagai menentang Islam, rasis dan seorang menteri yang tidak adil dan tidak jujur.
Ia mendakwa bahawa artikel itu tidak benar, menyakitkan hati, terlalu cuai, berniat jahat dan bertujuan untuk merendahkan maruah pelanggannya di mata orang ramai, baik secara tempatan mahupun antarabangsa.
Firma undang-undang itu berkata artikel itu tidak benar, didorong oleh niat jahat, mala fide dan pada dasarnya dilakukan untuk mencari publisiti yang murah.
"Sehubungan itu kami diarah menuntut daripada anda penarikan balik artikel yang memburuk-burukkan itu dengan segera dan tegas; di samping menolak serta memadamkan semua komen yang berbaur fitnah dan menyinggung perasaan itu.
"Permintaan maaf perlu mengikut syarat yang dipersetujui kami sebagai peguamcara kepada pelanggan kami, di samping perlu diterbitkan di akhbar atau media pilihan pelanggan kami; dan satu perakuan di pihak anda bahawa anda tidak lagi akan mengulangi tuduhan serta komen sedemikian seperti kata-kata yang memburuk-burukkan atau yang sama makna dengannya," menurut firma itu.
Menurutnya pelanggan mereka juga mengarahkan mereka menuntut gantirugi RM30 juta daripada Syarhan kerana menjejaskan reputasi Kok.
"Sekiranya kami tidak menerima jawapan yang memuaskan dalam tempoh tuju hari mulai hari ini, arahan yang kami terima adalah untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap anda," katanya.
-- BERNAMA
#ganti rugi #Islam #ketua pemuda pas selangor #mala fide #permohonan maaf #rasis #Teresa Kok #undang-undang
;