Teresa Kok terima kertas ugutan bunuh berserta peluru
Sinar Harian
Mei 19, 2024 17:50 MYT
Mei 19, 2024 17:50 MYT
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menerima kertas ugutan bunuh bersaiz A4 bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.
Menurut Naib Pengerusi DAP itu, kejadian tersebut seolah-olah tidak masuk akal malah beliau mempersoalkan kesalahan yang telah dilakukan sehingga menerima ugutan bunuh.
“Semalam apabila pulang ke kediaman rumah, saya mengambil surat di peti surat, namun saya dapati ada sampul surat mengandungi objek keras di dalamnya.
“Semasa membuka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya lihat ada dua peluru dan kertas ugutan.
“Saya memang hairan dan tidak mengerti mengapa saya menerima ugutan peluru dan surat seperti ini?" katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, menurut Teresa, susulan kejadian itu beliau telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, polis telah datang ke bahagian peti surat di kondominium tersebut untuk menjalankan pemeriksaan.
“Berikutan itu, saya telah laporan di Balai Polis Petaling dan menyerahkan surat serta peluru untuk siasatan.
“Saya berterima kasih kepada pihak polis di atas tindakan pantas selepas saya membuat laporan,” katanya. - Sinar Harian