Teresa Kok: Hentikan permainan memupuk kebencian

Astro Awani
Februari 19, 2014 12:57 MYT
- Gambar: Facebook Teresa Kok
Ahli parlimen Seputeh dan naib pengerusi DAP Teresa Kok hari ini berharap ‘permainan memupuk kebencian’ dapat dihentikan selepas pejabatnya disimbah cat merah dan dicampak bangkai ayam awal pagi tadi.
Ini adalah insiden kali kedua di mana pejabatnya dicampak dengan bangkai haiwan dalam tempoh terdekat selepas kontroversi tercetus ekoran penyiaran video “Onederful Malaysia” bulan lalu.
Sewaktu itu, pejabatnya di Jalan Kuchai Lama dicampak dengan bangkai tikus.
Namun, disebalik kejadian ancaman keganasan dan bidasan pelbagai pihak, Kok berkata beliau masih berasa terkejut dengan insiden terbaru ini.
“Sudah tentu saya terkejut. Saya percaya ia berkaitan dengan video sebelum ini,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Beliau mendakwa sentimen kebencian telah ditanamkan oleh pihak tertentu yang cuba memesongkan mesej video Tahun Baru Cina itu.
“Saya merayu kepada mereka yang mendakwa saya anti-Melayu, anti-Islam, anti-Agong, serta anti pemimpin negara untuk menghentikan permainan kebencian ini yang mahu orang ramai membenci saya dan turut memupuk perasaan anti-bukan Melayu.”
Pagi tadi, pekerja pejabat Kok menemui bangkai ayam dan cat basah pada kira-kira 8:45 pagi. Terdapat juga gambar-gambar Kok dicetak di atas beberapa kertas A4.
Kok berkata pihak polis sedang merekodkan kenyataan beliau dan juga cuba mengesan cap jari dari premis itu.
Sebelum ini, kumpulan yang menamakan diri "Majlis NGO Islam" telah menyembelih ayam hidup dalam bantahan mereka terhadap video Kok itu.
Kumpulan itu juga dilaporkan menawarkan ganjaran tunai untuk menampar Kok.
Kok telah dikecam pelbagai pihak sejak video berdurasi 11 minit itu diterbitkan 27 Januari lalu, dengan sesetengah pihak menganggapnya video terbabit adalah anti-Melayu. Polis sedang menyiasat video Kok itu.
Dalam video klip itu, Kok berlakon sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina untuk tahun ini. Tetamu undangan Kok itu mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.
#Ayam #cat merah #Onederful Malaysia #Teresa Kok
;