Terengganu timbang syor wujudkan pusat tahanan khas pesalah syariah
Bernama
Oktober 13, 2018 17:07 MYT
Oktober 13, 2018 17:07 MYT
Terengganu akan menimbang satu syor oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah supaya diwujudkan pusat tahanan khas untuk menempatkan pesalah syariah bagi membolehkan mereka menjalani hukuman secara berasingan daripada pesalah sivil.
Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata meskipun ketika ini ia hanya cadangan, namun tidak mustahil ia boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian, namun yang pastinya ia tidak akan dibuat dalam keadaan yang terburu-buru.
"Kerajaan negeri mengambil serius pandangan dan cadangan Hakim Syarie itu, tetapi kita akan bincang pro dan kontra cadangan itu terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Dataran Batu Buruk, yang dihadiri kira-kira 12,000 penduduk bandaraya di sini hari ini.
"Kita akan semak adakah ia berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri atau ada kaitan dengan kerajaan pusat. Ini semua akan kita lihat secara menyeluruh terlebih dahulu...(bagaiamanapun) kita tidak mengejar waktu (untuk melaksanakan) perkara ini," tambahnya.
Pada 10 Okt lepas Hakim Kamalruazmi Ismail mencadangkan supaya pusat tahanan khas untuk menempatkan pesalah syariah diwujudkan bagi tujuan memulihkan akidah dan akhlak pesalah syariah di samping melindungi mereka daripada pesalah jenayah berat seperti rogol atau samun.
Beliau menyatakan demikian sebelum membacakan penghakiman kes seorang janda yang dihukum empat sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri pada 19 Sept lalu.
Mengulas lanjut isu hukuman syariah yang dipolemikkan oleh orang ramai hingga ada pihak yang mahu memboikot industri pelancongan negeri itu, Ahmad Shamsuri berkata semua pihak perlu melihat perkara itu dengan hati dan minda yang terbuka.
Katanya adalah tidak adil jika terus menyalahkan kerajaan negeri dalam isu itu kerana setiap negeri atau mana-mana negara mempunyai garis panduan dan undang-undang yang perlu dipatuhi mengikut demografi dan tatasusila latar belakang masyarakat serta agama dan kaum di situ.
"Sepatutnya ia tidak perlu jadi isu, kita ikut sensitiviti berdasarkan tempat dan budaya masing-masing sebab kalau di tempat lain pun, sebagai contoh di Perancis, ada sesetengah tempat tidak membenarkan wanita berhijab memasuki kawasan itu.
-- BERNAMA