Terengganu teruskan penganjuran Pelita Raya
Nur Fazlizai Ali
Mei 3, 2021 08:53 MYT
Mei 3, 2021 08:53 MYT
KUALA NERUS: Kerajaan negeri Terengganu meneruskan penganjuran Pelita Raya bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri di Terengganu tahun ini.
Inisiatif yang dibuat itu bagi mengembalikan nostalgia kemeriahan Aidilfitri pada zaman dahulu khususnya pada malam tujuh likur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata pertandingan itu akan dimulakan pada 6 Mei ini.
Katanya pertandingan Pelita Raya ini juga diperluaskan di setiap kampung melibatkan lapan daerah di negeri itu daerah menerusi dalam talian.
"Pertandingan Pelita Raya dari 6 Mei hingga 12 Mei ini akan dilakukan di Kampung Budaya melibatkan rumah-rumah daerah.
"Saya rasa tahun ini ia lebih terurus dan lebih ceria.
"Kita juga akan lakukan pertandingan Pelita Raya ini secara dalam talian," katanya.
Beliau berkata menjadi kelaziman dan tradisi penduduk terutama di kawasan kampung memasang pelita di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan bagi menceriakan suasana waktu malam pada hari-hari terakhir bulan Ramadan.
Jelasnya menerusi pertandingan itu para peserta boleh mempamerkan idea kreatif dengan membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita bagi menceriakan kawasan rumah dan kampung mereka.