Terengganu terima RM700 juta wang royalti Mac ini
Sinar Harian
Januari 15, 2020 15:45 MYT
Januari 15, 2020 15:45 MYT
Kerajaan Terengganu dijangka menerima bayaran wang royalti atau Wang Tunai Petroleum (WTP) sebanyak RM700 juta pada bulan Mac nanti.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bayaran pertama bagi tahun 2020 itu adalah kiraan kasar sebelum pemotongan hutang sebanyak 25 peratus.
“Bayaran wang royalti minyak dibuat sebanyak dua kali setahun iaitu pada bulan Mac dan September, ia dibayar separuh-separuh.
"Oleh itu kita jangka bulan Mac nanti tanpa pemotongan kita dapat dalam RM700 juta," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penularan influenza, Dr Ahmad Samsuri meminta orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi meningkatkan tahap kebersihan diri bagi mengelak dijangkiti virus tersebut.
Beliau turut menasihati mereka yang bekerja dalam bidang berdepan dengan orang ramai mengambil suntikan vaksin sekiranya perlu.
"Saya harap rakyat mengambil langkah-langkah bersesuaian dari segi penjagaan kesihatan diri, hadkan berhubung dengan orang ramai di luar sana dan di tempat-tempat tumpuan ramai.
"Saya percaya Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengambil langkah-langkah sesuai bagi mengelak penularan wabak ini di seluruh negara," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sembilan individu dijangkiti kluster kes penyakit serupa influenza atau Influenza Like Illness (ILI) di Terengganu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu didapati lima kes positif influenza A dan tiga kes positif influenza B.
#Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
#Menteri Besar Terengganu
#Terengganu terima royalti
#wang royalti
#wang tunai petroleum