Terengganu sumbang petrol percuma kepada 1,500 penunggang motosikal
Bernama
Jun 25, 2017 10:47 MYT
Jun 25, 2017 10:47 MYT
Kira-kira 1,500 penunggang motosikal menikmati minyak petrol secara percuma yang disumbangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di stesen minyak Shell Kampung Duyong, Seberang Takir dekat sini hari ini.
Program Jom Isi Minyak Motor Raya Cikgu Razif Belanja selama dua jam itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada anak tempatan sempena menyambut Syawal esok.
Ia dianjurkan buat julung kalinya atas atas inisiatif Penyelaras Pergerakan Pemuda UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan melibatkan kos keseluruhan RM7,500 dengan setiap penunggang menikmati minyak percuma bernilai RM5.
Pengerusi penyelaras itu, Nik Mohd Faridzal Nik Jaafar berkata bagi menjayakan program isi minyak percuma itu, beberapa ahli jawatankuasa penyelaras pergerakan Pemuda UMNO berkenaan ditugaskan di situ melibatkan tiga hingga empat pam minyak.
"Ini merupakan program julung kali kita adakan untuk bantu orang ramai khususnya penunggang motosikal mengisi minyak secara percuma. Kita akan jadikan program ini sebagai tradisi setiap kali menjelang perayaan pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya pada sebelah pagi tadi, Menteri Besar turut menyempurnakan program Gunting Rambut Raya Cikgu Razif Belanja melibatkan 27 tukang gunting di sekitar DUN Seberang Takir.
Jelas beliau, program itu turut mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 10,000 orang dari golongan kanak-kanak hingga dewasa memanfaatkan peluang menggunting rambut secara percuma itu melibatkan 15 buah kedai.
"Setiap tukang gunting dikehendaki menggunting rambut 20 orang, setiap tukang gunting dibayar RM200 untuk kendalikan 20 pelanggan," katanya.
-- BERNAMA