Terengganu sedia 12 bas percuma untuk mahasiswa pulang ke kampung

Bernama
Mei 26, 2019 16:33 MYT
Pulang beraya dengan menaiki bas tentunya mempunyai nilai nostalgia tersendiri bagi ramai orang. - Gambar hiasan
Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menyediakan sebanyak 12 buah bas secara percuma untuk membawa 480 mahasiswa Terengganu yang belajar di luar negeri itu pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri menerusi program Jom Balik Raya Aidilfitri Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) 2019.
Pegawai Perhubungan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Muhamad Khairi Mezah berkata program bertemakan 'Tranung, mu tunggu aku balik' itu diharap dapat menceriakan sambutan Aidilfitri mahasiswa bersama keluarga tersayang selain mengurangkan beban kewangan mereka.
Beliau berkata kesemua 12 bas berkenaan dijadual bertolak daripada lokasi yang telah ditentukan pada 31 Mei ini dan dijangka tiba di perkarangan Yayasan Terengganu di sini pada awal pagi, 1 Jun.
"Mahasiswa berkenaan juga akan menikmati hidangan sahur yang disediakan sebelum bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya kepada Bernama, hari ini.
Katanya bagi pelajar yang tinggal di enam daerah iaitu Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, Yayasan Terengganu juga akan menghantar mereka pulang dengan bas percuma ke daerah masing-masing.
Muhamad Khairi berkata kesemua mahasiswa Terengganu telah dimaklumkan mengenai program tersebut melalui laman rasmi Facebook Permata di universiti masing-masing.
Katanya program yang telah bermula sejak tujuh tahun lalu itu susulan rungutan mahasiswa yang tidak dapat pulang beraya di kampung kerana kehabisan tiket bas.
-- BERNAMA
#balik kampung #bas #bas percuma #mahasiswa #pengangkutan awam
;