Terengganu sasar sektor pertanian sumbang 10 peratus kepada KDNK tahun hadapan - MB
Bernama
Julai 25, 2024 06:30 MYT
Julai 25, 2024 06:30 MYT
JERTIH: Terengganu komited untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri kepada kira-kira 10 peratus tahun hadapan.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata hal ini berikutan sektor pertanian menunjukkan peningkatan berbanding sektor lain iaitu menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada KDNK negeri atau nilai ditambah sebanyak RM2.9 billion sejak awal tahun ini.
"Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasakan sektor pertanian, penternakan, dan perikanan. Pelbagai inisiatif dan program telah diperkenalkan untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, dan daya saing hasil-hasil pertanian dan perikanan kita.
"Antaranya adalah penggunaan teknologi moden, penyelidikan dan pembangunan, serta latihan dan bimbingan kepada para peladang, penternak, dan nelayan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur Tahun 2024 di Jabi, di sini pada Khamis.
Ahmad Samsuri berkata perancangan kerajaan negeri dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 juga menunjukkan impak positif.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak boleh mudah berpuas hati berikutan perubahan iklim global masa kini yang menjadi cabaran termasuklah dalam sektor pertanian.
Menurutnya, perancangan selama lima tahun berikutnya perlu mengambil kira faktor perubahan iklim seperti El Nino, La Nina serta Monsun Timur Laut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim berkata aktiviti perikanan adalah penyumbang tertinggi KDNK Terengganu dalam sektor pertanian iaitu sebanyak RM253 juta dengan hasil tangkapan sebanyak 49 juta tan metrik.
"Peningkatan hasil laut ini didorong oleh usaha kerajaan negeri melalui agensi berkaitan untuk memperkayakan sumber perikanan seperti melabuhkan tukun, unjang selain kawal pencerobohan dan menyelesaikan isu pelesenan nelayan pantai.
"Kita meletakkan nelayan kita dalam keadaan selesa dan kemudahan jeti pendaratan ikan yang sempurna," katanya.
--BERNAMA