Terengganu salur bantuan RM200,000 baik pulih rumah mangsa ribut

Bernama
Julai 10, 2016 08:00 MYT
AHMAD RAZIF: Buat masa sekarang proses baik pulih atap yang rosak sudah siap 80 peratus, 20 peratus lagi mungkin akan ambil masa sebab pekerja tidak ada kerana mereka masih bercuti. - Gambar fail
Kerajaan Terengganu akan menanggung sebahagian kos pembaikan rumah mangsa yang terjejas akibat ribut di beberapa buah kampung di daerah ini pada malam menjelang Aidilfitri lalu.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sebanyak RM200,000 peruntukan akan disalurkan bagi membaiki atap rumah yang rosak di samping kerosakan lain yang dialami mangsa.
"Kerajaan negeri akan menyegerakan proses baik pulih rumah-rumah mangsa yang terlibat. Buat masa sekarang proses baik pulih atap yang rosak sudah siap 80 peratus, 20 peratus lagi mungkin akan ambil masa sebab pekerja tidak ada kerana mereka masih bercuti (hari raya).
"Jadi kita mengambil inisiatif memohon bantuan badan-badan sukarela, pihak belia, pasukan unit beruniform dan juga Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus untuk sama-sama bantua membaiki rumah mangsa agar mereka dapat menyambut hari raya dengan keadaan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir (Komstar) di sini pada Sabtu.
Terdahulu Ahmad Razif menyampaikan bantuan berupa makanan dan keperluan harian kepada mangsa yang terjejas berjumlah RM50,000 yang disumbangkan oleh UMNO Bahagian Kuala Nerus.
Pada malam Selasa lalu, kira-kira 215 buah rumah rosak akibat angin kencang semasa ribut melanda di kawasan Teluk Pasu, Manir.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif mencadangkan agar sekolah-sekolah di negeri ini mewujudkan persatuan bekas-bekas pelajar atau alumni masing-masing bagi membantu pihak sekolah membantu meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan para pelajar.
Sebagai contoh, katanya seperti alumni Komstar, bekas pelajar yang sudah berjaya juga secara tidak langsung dapat menyumbang tenaga atau wang ringgit untuk kepada membantu para pelajar yang kurang bernasib baik.
"Saya akan ketengahkan cadangan ini kepada pengarah pendidikan (negeri) supaya ia dipanjangkan ke sekolah-sekolah lain.
"Dengan cara ini kita dapat mengajar masyarakat konsep 'membalas budi' iaitu memberi semula kepada pihak sekolah khususnya bagi membantu para pelajar yang kurang bernasib baik," katanya.
#Ahmad Razif Abdul Rahman #konsep 'membalas budi' #kos pembaikan rumah mangsa ribut
;