Terengganu rekod empat kematian pada gelombang pertama banjir

Bernama
Disember 3, 2024 12:30 MYT
Mohd Khairi (kiri) ketika meninjau keadaan paras air parit di Telok Kalong, Kemaman, Terengganu pada 20 Nov 2024. -Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak bulan lepas menyaksikan empat nyawa telah terkorban akibat bencana itu.

Ringkasan AI
  • Empat nyawa telah terkorban akibat banjir, termasuk seorang anggota polis dan dua beradik yang terperangkap dalam tanah runtuh.
  • Kematian terbaharu melibatkan Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, yang ditemukan lemas di ladang kelapa sawit di Dungun.
  • Seorang warga emas, Tuan Jusoh Tuan Hassan, juga ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah di Besut.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata kematian terbaharu direkodkan semalam melibatkan anggota di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang ditemukan lemas di Ladang Kelapa Sawit, Felda Kerteh 3 di Ketengah Jaya, dekat Dungun.
Beliau berkata pada petang Sabtu, Wan Muhamad Firdaus pergi ke ladang kelapa sawit itu bersama-sama seorang rakan untuk mengambil beg duitnya yang tertinggal di dalam raga motosikal yang ditinggalkan di dalam ladang bersama sebuah lori.
"Semasa perjalanan pulang, mangsa (Wan Muhamad Firdaus) yang menunggang motosikalnya telah hanyut dibawa arus manakala rakannya menaiki lori, namun lori itu rosak dan tidak dapat dihidupkan.
"Rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang kampung pada 5 petang, Ahad manakala mangsa tidak ditemukan pada ketika itu.
"Sebelum itu mangsa sempat menghubungi isterinya pada 10 malam Sabtu, menyatakan dia telah terkandas di dalam ladang bersama rakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata gerakan mencari mangsa dilakukan dan mayat dijumpai pada 2.15 petang semalam oleh pihak bomba dan orang kampung.
Beliau berkata selain itu, seorang warga emas turut menjadi mangsa banjir di negeri ini iaitu Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, yang ditemukan lemas di kawasan sawah di Jalan Kampung Pinang, Besut pada 28 Nov lepas.
Tuan Jusoh yang menjadi korban pertama banjir telah keluar untuk memukat ikan di kawasan sawah itu bersama-sama tiga rakannya dengan menaiki sampan.
"Sampai di tempat kejadian, mangsa telah terjun ke dalam air untuk memasang kayu bagi mengikat pukat namun tidak timbul.
"Rakan-rakannya kemudian meminta bantuan daripada penduduk kampung untuk mencari mangsa," katanya menambah mayat Tuan Jusoh ditemukan di kawasan berkenaan pada 10.10 pagi hari sama.
Mohd Khairi berkata dua beradik turut menjadi korban banjir kali ini akibat tanah runtuh di rumah mereka di Kampung Bukit Apit di Ajil dekat Hulu Terengganu pada 29 Nov lepas, kira-kira 4.50 petang.
Beliau berkata mangsa pertama Puteri Sajidah Azman, 16, berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan polis pada 6.30 petang manakala mangsa kedua Siti Fatimah, 13, dikeluarkan pada 7 malam.
"Hasil siasatan mendapati runtuhan tanah berlaku dari bukit di belakang rumah mereka yang berjarak lebih kurang 30 meter dan ketika itu hujan lebat," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #terengganu #mangsa banjir #kematian
;