Terengganu rancang tambah pendapatan, terokai inisiatif hijau - MB
Afiezy Azaman
Disember 19, 2023 12:00 MYT
Disember 19, 2023 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan membongkar kegagalan Kerajaan terdahulu atau berterusan menyalahkan pihak lain dalam isu dan urusan pentadbiran negeri terbabit.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan berkenaan tidak membantu menyelesaikan sebarang isu atau permasalahan yang berlaku di negeri tersebut.
"Ketika ditanya oleh wartawan tentang keutamaan saya apabila menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu pada penggal pertama, saya ada dua pilihan iaitu sama ada merobohkan semuanya dan membina dari awal atau membuat penstrukturan semula dan melihat apa yang boleh diselamatkan.
"Saya memilih jalan yang kedua dan jalan ini memerlukan kepada melakukan sesuatu mengikut keutamaan seperti adakah memilih untuk membaiki atap dahulu atau membaiki dapur dahulu?
"Boleh saja kami memilih untuk membongkar kegagalan kerajaan terdahulu tetapi ianya tidaklah membantu apa-apa. “Witch hunting” atau berterusan menyalahkan sesuatu pihak bukanlah jalannya malah keperluan pada masa tersebut adalah mencari penyelesaian kepada apa masalah yang ada mengikut keutamaan," katanya dalam satu kenyataan di media sosial, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau menggesa kesemua Exco dan ketua agensi Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus mengorak langkah dengan pantas mendapatkan pelabur dan mencari pendapatan tambahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber petroleum dan royalti.
"Dalam penggal pertama, Alhamdulillah kami dapat mengurangkan kebergantungan dalam 3 hingga 4 peratus walaupun tidaklah banyak tetapi ada perubahan.
"Sekarang, kami cuba mengoptimumkan kutipan cukai dan hasil daripada sumber mineral lain bagi mendapatkan pulangan kepada Kerajaan Negeri.
"Kami ingin mendapatkan lebih banyak pendapatan dalam sektor inisiatif hijau seperti menjalinkan kerjasama hidrogen dengan Petronas.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Terengganu juga telah melawat Sarawak untuk melihat dan mempelajari mengenai inisiatif hijau untuk dilaksanakan di Terengganu.
"Harapan kami juga, segala hasil usaha daripada keputusan yang diambil dapat dilihat akan datang," ujarnya.