Terengganu perlu lebih RM2.4 bilion atasi masalah hakisan pantai

Bernama
Januari 15, 2025 13:40 MYT
Hanafiah (foto) berkata jumlah itu anggaran kasar dengan mengambil kira kos pembinaan yang menelan belanja antara RM5 juta hingga RM10 juta untuk satu kilometer. -Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Terengganu memerlukan lebih RM2.4 bilion bagi membina benteng pemecah ombak di 34 lokasi pantai untuk mengatasi masalah hakisan.

Ringkasan AI
  • Terengganu memerlukan lebih RM2.4 bilion untuk membina benteng pemecah ombak di 34 lokasi pantai bagi mengatasi masalah hakisan.
  • Kos pembinaan bergantung kepada reka bentuk benteng, tahap hakisan, dan bahan mentah, dengan anggaran antara RM5 juta hingga RM10 juta per kilometer.
  • Kerajaan negeri berharap kerajaan pusat meluluskan peruntukan tambahan, dan kerja-kerja baik pulih di Kampung Tanjung Batu Rakit dijangka bermula dalam tiga hingga empat minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri Hanafiah Mat berkata jumlah itu anggaran kasar dengan mengambil kira kos pembinaan yang menelan belanja antara RM5 juta hingga RM10 juta untuk satu kilometer (km).
Bagaimanapun, beliau berkata kajian lanjut perlu dibuat bagi mendapatkan perbelanjaan sebenar kerana kos pembinaan bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk reka bentuk benteng, tahap hakisan dan bahan mentah.
"Kita memerlukan lebih RM2.4 bilion untuk melindungi kawasan pantai sepanjang 244 km yang berisiko hakisan terutama pada musim Monsun Timur Laut (MTL).
"Kos bergantung kepada beberapa faktor sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion. Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan dengan lokasi terjejas teruk menelan kos lebih tinggi kerana memerlukan struktur lebih kukuh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, Hanafiah berkata pihaknya mengharapkan kerajaan pusat dapat meluluskan segera peruntukan tambahan bagi menangani masalah hakisan pantai yang semakin teruk terutama di Kuala Nerus.
Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya telah mengangkat permohonan sebanyak RM600,00 untuk kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan jangka pendek di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
"Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kelulusan MARRIS dan keadaan ombak.
"Kaedah penyelesaian yang dicadangkan adalah membina struktur rock revetment sepanjang 400 meter dengan lebar 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan," katanya.-- BERNAMA
#terengganu #hakisan pantai #Hanafiah Mat #peruntukan tambahan
;