Terengganu perhebatkan program perkahwinan ibu, bapa tunggal

Bernama
Ogos 15, 2018 05:34 MYT
HANAFIAH: Kerajaan negeri menyediakan insentif RM1,000 untuk golongan ibu dan bapa tunggal yang ingin kembali menjalani kehidupan berumah tangga.
Kerajaan negeri Terengganu akan terus memperhebatkan program perkahwinan melibatkan ibu dan bapa tunggal di seluruh negeri bagi membolehkan 43,269 orang golongan itu membina kehidupan berkeluarga yang lebih baik.
Menerusi program yang dimulakan pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan insentif RM1,000 untuk golongan ibu dan bapa tunggal yang ingin kembali menjalani kehidupan berumah tangga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata setakat Jun tahun ini, 35,426 ibu tunggal dan 7,843 bapa tunggal di negeri ini telah berdaftar dengan program itu.
"Jumlah ini sebenarnya tidaklah terlalu ramai jika dibandingkan nisbah penduduk Terengganu keseluruhannya. Namun kerajaan negeri akan terus menyediakan pelbagai insentif kepada mereka untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negeri ini.
Program insentif perkahwinan ibu tunggal dan bapa tunggal sebanyak RM1,000 seorang ini misalnya adalah satu sumbangan permulaan yang baik daripada kerajaan negeri untuk membantu mereka memulakan kehidupan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan cek sagu hati perkahwinan kepada 117 ibu dan bapa tunggal di sini pada Rabu. Turut hadir Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa.
Ketika ini, 311 ibu dan bapa tunggal telah menerima insentif sebanyak RM1,000 seorang itu.
Hanafiah berkata kebanyakan ibu dan bapa tunggal di Terengganu adalah mereka yang kematian pasangan masing-masing dan hanya sebahagian kecil sahaja yang bercerai.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku perbuatan tidak bertanggungjawab yang memperalatkan ibu atau bapa tunggal ini semata-mata untuk mendapatkan wang insentif itu, Hanafi berkata hanya satu kes dilaporkan kepada YPKT setakat ini.
"Ia hanya kes terpencil di mana berlaku perceraian setelah pasangan mereka menerima wang ini...mungkin memang setakat itu sahaja jodoh mereka. Apa pun, kerajaan negeri akan sentiasa melaksanakan pelbagai program pasca perkahwinan kepada mereka agar perkahwinan itu kekal ke akhir hayat," katanya.
-- BERNAMA
#bapa tunggal #Hanafiah Mat #ibu tunggal #keluarga #kerajaan #perkahwinan #terengganu #wanita
;