Terengganu perhebat ceramah bahaya LGBT di sekolah berasrama

Bernama
Oktober 26, 2018 06:19 MYT
Wan Sukairi berkata golongan berusia 20 hingga 40 tahun dikesan paling ramai terjebak dengan LGBT di Terengganu setakat ini. - Gambar hiasan
Kerajaan Negeri akan memperhebatkan program kesedaran mengenai ancaman Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di peringkat sekolah terutama di sekolah berasrama serta institusi pengajian agama.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata bahaya LGBT perlu didedahkan kepada kelompok pelajar ini memandangkan terdapat risiko berlakunya bibit-bibit budaya LGBT di asrama yang menempatkan komuniti pelajar yang ramai.
"Taklimat atau ceramah ini akan diadakan dalam jangka masa terdekat dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, doktor perubatan dan pakar agama untuk mencegah budaya LGBT dalam kalangan pelajar dan mendedahkan kepada mereka impak negatif LGBT dari sudut kesihatan dan agama.
"Mungkin ada pelajar ini yang naif dan tidak dapat membezakan sentuhan berbentuk seksual, jadi ceramah ini akan membantu mereka untuk melindungi diri dari anasir LGBT," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembentukan Modul Perawatan LGBT Nasional di sini pada Jumaat.
Program itu dianjurkan oleh dua NGO iaitu Persatuan Transformasi Kesihatan Terengganu (T-Fitrah) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) yang menggabungkan ramai pakar perubatan dan agama sebagai usaha membentuk model perawatan yang berkesan membawa golongan LGBT ini ke pangkal jalan.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata golongan berusia 20 hingga 40 tahun dikesan paling ramai terjebak dengan LGBT di Terengganu setakat ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Wan Sukairi berkata Kerajaan Negeri sedia membimbing golongan ini sekiranya mereka benar-benar ingin kembali kepada fitrah dan menjalani kehidupan normal bersama masyarakat.
"Harapan saya agar modul perawatan ini nanti dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan membawa kebaikan untuk semua dalam membasmi budaya songsang di negara ini," katanya.
Mengikut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, hanya lima kes dikesan positif HIV akibat budaya LGBT pada 2012 namun jumlahnya meningkat kepada 27 kes pada 2016 di mana kebanyakannya adalah berpunca dari homoseksual.
-- BERNAMA
#asrama #Budaya Songsang #ceramah #kehidupan normal #LGBT #modul perawatan #pelajar #positif HIV #risiko #sekolah #sekolah agama #sentuhan #terengganu #Wan Sukairi Wan Abdullah
;