Terengganu mohon penanaman padi dibenarkan sepanjang sekatan pergerakan penuh
Bernama
Mei 30, 2021 00:46 MYT
Mei 30, 2021 00:46 MYT
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memohon supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan aktiviti penanaman padi baharu dilaksanakan di negeri ini, sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara bermula 1 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti penanaman padi baharu bagi musim kedua untuk tahun ini perlu dijalankan seperti yang dijadual bermula 5 Jun ini, bagi membolehkan hasil dapat dituai sebelum tibanya musim banjir yang kebiasaan berlaku pada hujung tahun.
"Aktiviti penanaman padi untuk musim kedua tahun ini, seperti penyediaan petak sawah dan membajak terutama di Besut, kita terpaksa tangguhkan sehingga PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) di daerah tersebut berakhir pada 4 Jun ini. Hal ini kerana Besut merupakan antara daerah utama pengeluaran padi di Terengganu.
"Jadi mengikut jadual penanaman kali kedua ini, kita akan mula sekitar 5 Jun dan dijangka padi akan dituai pada penghujung Oktober ini. Itu pun kita kira masa yang sangat berisiko kerana kemungkinan banjir. Sebab itu kita tidak ada masa untuk tangguh lagi, dan perlu diteruskan juga dengan kelonggaran untuk penanaman padi walaupun dalam tempoh 'total lockdown' nanti," katanya dalam sidang media yang dijalankan secara dalam talian, di sini hari ini.
Dr Azman berkata permohonan tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Terengganu, yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, untuk dikemukakan kepada MKN.
Katanya menurut rekod, terdapat kira-kira 6,000 pesawah di seluruh negeri dengan sebanyak 3,098 daripadanya adalah pesawah di Besut dan setakat tahun 2019, kadar kecukupan padi di Terengganu adalah sebanyak 42.7 peratus.
Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' fasa pertama selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Jun, berikutan peningkatkan mendadak kes COVID-19 di negara ini.
Sementara itu Dr Azman turut meminta MKN membenarkan gerai-gerai termasuk di tepi jalan yang menjual barangan segar, dibuka sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi membantu sektor pertanian, penternakan dan perikanan, di negeri ini.
Selain itu katanya cadangan tersebut akan memudahkan pengguna mendapatkan barangan segar, dan ia akan membantu mengurangkan kesesakan pengunjung di pasar raya.
"Apabila hanya pasar raya dibenarkan buka dan gerai-gerai jualan di tepi jalan ditutup, ia akan berlaku monopoli dari segi harga dan barang-barang dijual (di pasar raya), kebanyakannya bukan hasil tempatan," katanya.
-- BERNAMA
#terengganu
#Azman Ibrahim
#Majlis Keselamatan Negara
#MKN
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#sekatan pergerakan penuh
#total lockdown
#Besut
#PKPD