Terengganu mahu pembinaan Jalan Hulu Besut-Kuala Krai dilaksana semula
Bernama
Jun 10, 2022 09:30 MYT
Jun 10, 2022 09:30 MYT
JERTIH: Kerajaan Negeri Terengganu akan berunding dengan kerajaan Pusat berkenaan melaksanakan semula projek pembinaan jalan menghubungkan Keruak, Hulu Besut di sini ke Lata Rek di Kuala Krai, Kelantan, yang sebelum ini dibatalkan,
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), projek pembinaan jalan raya sejauh kira-kira 12 kilometer itu telah melalui proses mengeluarkan tender, namun ia telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Jadi saya percaya ia boleh dipercepatkan dan sebab itu saya akan berunding dengan kerajaan pusat, khususnya kementerian berkenaan, dengan harapan dapat meluluskan semula pembinaan jalan itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Kekal Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Padang Astaka, Pasir Akar, di sini pada Khamis.
Katanya, laluan yang memendekkan masa perjalanan dari Besut dan daerah sekitar untuk ke Kuala Lumpur itu dijangka menjadi pilihan pengguna, sekali gus membantu memajukan kawasan Hulu Besut.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri merasmikan Taman Rekreasi Agro Darau di Kampung Darau di sini, yang siap November tahun lepas.
Katanya taman rekreasi bernilai RM15.5 juta itu dilengkapi restoran terapung, kedai Agrobazaar, bangunan jeti, menara tinjau, tandas awam, gimnasium luar dan beberapa kemudahan lain.
"Pembukaan taman ini akan menjadikan kawasan ini sebagai tarikan pelancongan di Besut yang baharu selain tarikan sedia ada seperti pulau, pantai yang cantik, air terjun dan tasik.
"Ia juga diharapkan dapat memacu lagi ekonomi penduduk di kawasan sekitar," katanya.
Pembinaan taman rekreasi itu bermula pada 26 Okt 2017 di kawasan seluas 4.19 hektar dan akan dibuka kepada pengunjung dalam masa terdekat.
-- BERNAMA